BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan,

Saya mempunyai soalan. Jadi saya datang dari keluarga yang sederhana dan masih cukup segala keperluan asas. Namun bagi kami untuk membeli barangan mahal dan mewah kami tidaklah mampu dan kadang kala wang yang bapa saya berikan kepada ibu kami tidak mencukupi bagi memenuhi kehendak kami apabila keluar berbelanja. Ibu saya mempunya dua orang adik perempuan, dan kedua-dua mereka merupakan pegawai bank yang mempunyai pangkat yang tinggi. Mereka berdua sering memberikan ibu saya wang belanja dan juga sudah banyak memberikan kami pelbagai benda lagi. Saya dan adik beradik juga setiap tahun akan mendapat duit raya yang banyak daripada ibu-ibu saudara saya tersebut. Pada awalnya, saya tidak merasakan perasaan ragu-ragu ini. Namun, setelah mengetahui bahawa bekerja sebagai seorang pegawai bank adalah haram kerana terdapat unsur riba' adalah haram. Jadi, persoalan saya, adakah selepas ini duit yang saya terima daripada ibu saudara saya haram saya belanjakan. Dan apakah hukum saya membelanjakan duit yang ibu saudara saya sudah berikan sebelum ini walaupun saya sudah tahu sejak beberapa tahun lepas lagi bahawa gaji pegawai bank haram. Itu sahaja, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد


Merujuk kepada soalan yang diajukan, pada asalnya harta yang diperolehi daripada sumber yang diharamkan oleh Syarak, seperti daripada transaksi riba, perniagaan judi dan arak adalah tidak boleh dimanfaatkan oleh pemiliknya. Walau bagaimanapun, menerima harta tersebut sebagai sedekah mahupun hadiah adalah diharuskan. Ini adalah kerana penerima tidak bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan oleh pemberi. Penerima sedekah atau hadiah tidak terlibat dengan urusan sebelum harta tersebut diterima kerana penerimaan harta atas dasar sedekah atau hadiah adalah harus di sisi syarak.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam surah Al-An’am:164

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا

Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.

 Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menyebut: 'bahawa setiap jiwa itu akan diberi ganjaran berdasarkan setiap amalannya. Jika baik amalannya, maka baiklah pembalasannya. Dan jika buruk amalannya, maka buruklah pembalasannya. Ini kerana, setiap jiwa (manusia) itu tidak akan memikul kesalahan (dosa) orang lain. Hal ini membuktikan akan keadilan Allah SWT".

Berdasarkan dalil di atas, seseorang tidak akan menanggung dosa seseorang yang lain. Dalam konteks bermuamalat dengan harta yang haram, dosa si pelaku perbuatan haram adalah ditanggung olehnya sahaja dan tidak ditanggung oleh pihak lain yang bermuamalat dengannya. Namun penerima sedekah atau hadiah tidak boleh redha dengan pekerjaan yang dilakukan oleh si pemberi serta tidak boleh bersubahat dan mempromosikan apa yang dilakukan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 99

message user image