BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya mempunyai empat soalan.

1. Air liur saya bercampur dengan kahak dana saya mengumpulnya didalam mulut dan saya tertelannya sedikit. Adakah batal puasa saya?

2. Air liur saya selalu terkeluar daripada mulut, dan saya selalu megumpulnya sebelum membuangnya, tetapi ada waktu saya tertidur dan terlupa untuk membuangnya, setelah bangun daripada tidur air liur yang saya kumpul telah taida, saya mengesyaki saya tertelan waktu tidur, adakah batal puasa saya?

3. Ketika mengambil wudu' didalam membasuh muka, saya membasuhnya melebihi 3 kali kerana was was, air kadang kadang termasuk dalam hidung, saya pun tidak dapat mengenal pasti adakah ia melepasi had batin. Adakah batal puasa saya?

4. Selepas saya mengumur mulut saya, saya meludah untuk membuang saki baki air paip, tetapi masih ada saki baki lagi, apakah hukumnya jika telan ia dengan sengaja.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد

Puasa adalah menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar (waktu subuh) sehingga terbenam matahari (waktu maghrib) dengan niat berpuasa. Di antara perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam badan melalui rongga terbuka iaitu mulut, hidung, telinga dan dua kemaluan. 

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Hukum puasa bagi orang yang menelan kahak adalah batal sekiranya kahak tersebut berada di bahagian zahir mulut atau pada ruangan mulut. Adapun jika kahak tersebut berada pada bahagian dalam seperti di bahagian halkum dan ke dalam maka tidak batal puasa.

2. Menelan air liur secara umumnya tidak membatalkan puasa dan sekiranya seseorang mengumpul air liur di dalam mulutnya lalu menelannya, maka sebahagian ulama berpendapat ia adalah makruh namun tidak membatalkan puasa. Sehubungan itu, tertelan air liur ketika tidur tidak membatalkan puasa.

3. Perasaan was-was perlu dielakkan dan memadai membasuh muka sebanyak tiga kali sahaja. Tambahan pula perasaan was-was tersebut mengakibatkan air termasuk ke dalam hidung ketika berpuasa. Sekiranya air tersebut diyakini melepasi had batin, maka terbatal puasa. Namun seandainya meragui sama ada melepasi had batin atau tidak, maka ia tidak membatalkan puasa.

4. Baki air kumuran yang sedikit selepas diluahkan adalah dimaafkan dan tidak membatalkan puasa kerana ia sesuatu yang sukar atau tidak dapat dielakkan. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 75

message user image