BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,saya ingin bertanya sebab kadang kadang tu terfikir jugak pasal ni kenapa jin dan syaitan bila baca sesuatu doa dia lari dan merasa panas dan sakit


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk soalan yang diajukan, perkara berkenaan jin dan syaitan merupakan perkara ghaib yakni yang tidak dapat dipastikan melalui pancaindera manusia melainkan apa yang telah diceritakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga Sunnah. Secara dasarnya di dalam surah al-Jin menjelaskan bahawa para jin juga mendengarkan ayat suci al-Quran, Allah SWT berfirman: 

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا

Maksudnya: Katakanlah Wahai Muhammad: Telah diwahyukan kepadaku bahwasanya: telah mendengarkan sekumpulan jin (akan al-Qur’an), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan al-Qur’an yang menakjubkan.

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa ayat-ayat dari al-Quran tidak memberi apa-apa kesan kepada golongan jin sama ada mereka itu beriman ataupun kufur bahkan al-Quran juga diturunkan kepada mereka. Akan tetapi terdapat hadis-hadis yang memberi kefahaman bahawa bacaan ayat suci al-Quran dapat menjauhkan seseorang dari gangguan jin dan syaitan dengan mempercayai bahawa Allah SWT satu-satunya yang dapat memberi kesan kepada mereka seperti diriwayatkan daripada Saidina Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: 

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

Maksudnya: Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya. (Riwayat Muslim dan al-Nasa'i)

Begitu juga, hadis lain yang diriwayatkan daripada Saidina Jabir bin Abdullah, Rasulullah SAW bersabda:  

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يُذْكَرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ

Maksudnya: Apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya, kemudian dia mengingati Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata (kepada temannya): Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam. Tapi apabila dia tidak mengingati Allah (bismillah dan jangan lupa mengucapkan salam) ketika masuk, maka syaitan berkata: Kamu memperoleh tempat menginap. (Riwayat Muslim dan Abu Daud) 

Kemudian, dalam hadis sahih yang lain menyebutkan bahawa syaitan akan lari apabila terdengar laungan azan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ النِّدَاءَ بِالصَّلاَةِ أَحَالَ لَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ صَوْتَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya syaitan, jika mendengar laungan azan untuk solat, dia akan berpaling dan berundur sambil terkentut sehingga dia tidak mendengar laungan azan tersebut. (Riwayat Muslim) 

Justeru, berdoa merupakan salah satu jalan untuk memohon perlindungan dan jagaan dari Allah SWT sepertimana yang dianjurkan oleh syarak untuk beristi'azah (memohon perlindungan) dari-Nya. Oleh itu, dengan doa dapat memberi kesan kepada jin dan syaitan sebagai perlindungan dan jagaan dari Allah SWT melalui bacaan ayat suci al-Quran di dalam doanya. Maka, tiada syak lagi bahawa Syaitan akan berlari, menjauhkan dan berpaling diri daripada hamba apabila dia membaca al-Quran atau menyebut nama Allah Taala, sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Nas ayat 1-6. Oleh yang demikian, berdoa meminta perlindungan dari Allah SWT dapat memberi kesan kepada jin dan syaitan dengan keizinan-Nya kerana merupakan salah satu bentuk al-Isti'azah yang telah diajarkan di dalam agama Islam. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 73

message user image