Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz. Saya ada kemusykilan berkaitan ibadah korban seperti berikut. Saya memohon pandangan ustaz berkaitan perkara ini. Satu keluarga ada 20 orang. 7 orang ingin membuat ibadah korban dan berkorban seekor lembu. - Daging lembu tersebut tidak dibahagi 7 bahagian. - Seekor lembu tersebut dibahagi kepadaa orang miskin, penduduk kampung, 7 orang ahli keluarga yang berkorban, 13 orang ahli keluarga yang tidak berkorban, dimasak untuk dimakan sekeluarga dan selebihnya disimpan. - Daging yang disimpan biasanya mengambil masa beberapa bulan untuk dihabiskan. Soalan 1) Apa hukumnya daging lembu tidak dibahagi sama rata antara 7 orang yang berkorban? 2) Adakah daging lembu yang diberi kepada 7 orang tersebut boleh disimpan lebih 3 hari? Boleh kah dia menganggap daging tersebut adalah pemberian ahli keluarga lain yang berkorban? 3) Bolehkah daging korban disimpan lama dan dimakan oleh 20 orang ahli? Keluarga? Sebagai contoh, selepas sebulan, daging yang disimpan dimasak dan dimakan bersama2 kesemua ahli keluarga?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan; 1. Daging tersebut tetap halal dan ibadah korban tersebut sah jika segala syarat-syarat dan rukun-rukun yang berkaitan dipenuhi. Jika kesemua peserta korban setuju dengan pembahagian tersebut maka tiada masalah di dalam pembahagian tersebut. Seandainya salah seorang peserta korban tidak setuju maka perlu diasingkan terlebih dahulu. 2. Sunat bagi pemilik sembelihan makan 1/3 daripada sembelihan dan disedekahkan 2/3 lagi kepada golongan miskin. Atau pemilik makan 1/3, 1/3 disedekahkan kepada golongan miskin dan 1/3 lagi diihadiahkan dihadiahkan kepada orang kaya atau sebagainya. Namun, jika disedekahkan 2/3 atau mensedekahkan kesemua sembelihan kecuali sesuap sahaja untuk dimakan sebagai mengambil keberkatan, itu adalah lebih baik lagi. 3. Berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya : “Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta dengan tangannya sendiri, kemudian memberikan tugas itu kepada Ali RA, lalu Ali RA menyembelih pula apa yang masih ada.Kemudian Baginda SAW berkongsi dengan Ali RA untuk seekor unta (sebagai sembelihan korban). Baginda SAW kemudiannya menyuruh diambil sebahagian (daging) daripada setiap sembelihan itu. Lalu baginda SAW meletakkannya di dalam periuk untuk dimasak. Baginda SAW sendiri makan dan minum kuah daripada sembelihan tersebut”. (Riwayat Muslim) Berdasarkan hadis di atas harus hukumnya untuk makan daripada sembelihan korban sendiri, namun jika seseorang itu telah memakan kesemua aging sembelihan korban tersebut maka diwajibkan kepadanya untuk menggantikan sekadar yang disebut sebagai sedekah iaitu sekurang-kurangnya 1/3 (Mughni al-Muhtaj). Sekiranya sembelihan tersebut adalah daripada sembelihan yang dinazarkan maka tidak boleh makan sembelihan tersebut (bagi pemilik sembelihan). والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.