BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

ASSALAMUALAIKUM WBT USTAZ/ USTAZAH YANG SAYA MULIAKAN.

SAYA MENGALAMI MASALAH HAID BERPANJANGAN YANG TIDAK BERHENTI WALAUPUN TELAH MERUJUK KEPADA PEMERIKSAAN PAKAR. SAYA MEMAHAMI MENGIKUT PANDANGAN MAZHAB SYAFIE TEMPOH MAKSIMUM HAID ADALAH 15 HARI. SEKIRANYA SELEPAS TEMPOH 15 HARI DARAH MASIH KELUAR ITU DIPANGGIL DARAH ISTIHADAH/ BERPENYAKIT DAN HENDAKLAH MANDI WAJIB DAN MENUNAIKAN SOLAT SEPERTI BIASA SEBAGAIMANA WANITA DALAM KEADAAN SUCI.

PERSOALAN SAYA, SEKIRANYA DARAH MASIH TIADA TANDA-TANDA UNTUK BERHENTI SELEPAS SAYA TELAH MANDI WAJIB DAN MENUNAIKAN SOLAT SEPERTI BIASA BAGAIMANA KIRAAN KITARAN HAID DAN SUCI SAYA SELEPAS INI?

CONTOH SITUASI:

HARI PERTAMA HAID - 01/01/2024

HAID TIDAK BERHENTI SELEPAS 15 HARI

MANDI WAJIB DAN SOLAT - 15/01/2024

DARAH MASIH TIDAK BERHENTI

HARI YANG BOLEH DIKIRA SEBAGAI TEMPOH HAID SELEPAS ITU ADALAH PADA BILA?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada huraian puan, darah yang keluar pada 1/1/2024 hingga 15/1/2024 pada asalnya merupakan darah haid kerana ia masih berada dalam tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam. Namun begitu, sekiranya darah masih keluar pada 16 /1/2024 dan hari berikutnya ia sudah melepasi tempoh sebanyak-banyak haid. Maka, barulah diketahui puan mengalami darah haid dan istihadah secara bercampur. 

Hal ini kerana, merujuk kembali kepada definisi haid menurut Imam Khatib al-Syirbini bahawa haid ialah darah semula jadi yang keluar daripada pangkal rahim seorang wanita yang telah baligh dalam keadaan sihat tanpa sebab-sebab tertentu dan pada waktu-waktu yang diketahui sama ada pada waktu sekurang-kurang haid atau sebanyak-banyak haid atau waktu kebiasaan haid. Ia berbeza dengan istihadah yang mana darah yang keluar melebihi tempoh sebanyak-banyak haid dan nifas atau darah yang keluar bukan pada hari-hari haid dan nifas yang tidak mempunyai waktu-waktu tertentu.  

Berdasarkan huraian ini, dapat difahami bahawa darah yang keluar dalam tempoh 15 hari 15 malam walaupun berbeza adat dengan bulan sebelumnya atau berbeza warna darah yang keluar, selagi mana ia keluar dalam tempoh 15 hari 15 malam dan tidak melepasi tempoh tersebut, kesemuanya adalah dihukumkan darah haid. Namun begitu, jika darah yang keluar melepasi tempoh 15 hari 15 malam dan bersambung dengan hari berikutnya tanpa berhenti maka darah yang keluar dihukumkan sebagai darah istihadah. Wanita yang mengalami perkara ini dinamakan sebagai wanita mustahadah yang mempunyai beberapa pembahagian kerana darah haid dan istihadahnya telah bercampur dalam tempoh tersebut. 

Terdapat dua cara bagi menentukan darah daid dan istihadah bagi darah yang bercampur, iaitu:

1. Menentukan haid dan istihadah dengan melihat kepada kuat dan lemahnya darah yang kebiasaannya diketahui melalui warna darah, bau dan kepekatan. Secara umum warna darah adalah petanda utama yang dijadikan petunjuk. Perhatian: Darah hitam adalah kuat jika dibandingkan dengan darah merah. Darah merah adalah kuat jika dibandingkan dengan darah coklat. Darah coklat adalah kuat jika dibandingkan dengan darah kuning, dan darah kuning adalah kuat jika dibandingkan dengan darah warna keruh. 

Jika puan melihat terdapat perbezaan warna dan sifat darah dalam tempoh tersebut, maka dihukumkan haid pada darah yang kuat (sifat dan warnanya) serta dihukumkan istihadah bagi darah yang lemah (sifat dan warnanya) mengikut syarat-syarat tamyiz (boleh beza bentuk darah). Ia tidak dihukumkan dengan adat sebelumnya menurut pandangan paling sahih. Sebagai contohnya apabila masuk hari ke 16 puan hendaklah mandi, kemudian semak kembali rekod bentuk darah sebelumnya. Katakanlah apabila disemak didapati 8 hari pertama adalah darah kuat seperti darahnya berwarna gelap atau pekat dan berbau, atau lebih mudah difahami darahnya berwarna hitam, manakala hari-hari selepasnya semua darahnya lemah seperti darahnya berwarna lebih terang atau cair dan kurang berbau atau lebih mudahnya kita katakanlah warna merah. Maka darah merah adalah darah lemah jika dibandingkan dengan darah hitam. Maka 8 hari pertama itulah yang dijadikan sebagai haid, manakala selebihnya semuanya adalah istihadah. Haid barunya hanya akan bermula jika datang semula darah yang kuat (gelap) setelah berlalu 15 hari atau lebih darah yang lemah (iaitu warna yang terang itu). Cara pertama ini hendaklah diamalkan jika dapat mengetahui beza sifat-sifat darah itu. Jika tidak dapat mengetahuinya barulah berpindah kepada cara kedua. Namun adakalanya warna-warna darah itu tidak tersusun bahkan berselang seli antara darah kuat dan darah lemah, atau lebih dari dua bentuk darah sehingga menjadi keliru untuk dibezakan. Jika berlaku hal-hal seperti ini  maka perlulah dibuat rajah yang spesifik warna-warna darah dan harinya untuk dibuat pengiraan oleh ahlinya. Namun jika sukar juga untuk membezakannya maka bolehlah berpindah kepada cara yang kedua di bawah.

2. Menentukan darah haid dan istihadah dengan melihat kepada adat kebiasaan puan sebelum ini. Jika puan melihat darah yang keluar dengan satu sifat iaitu tiada perbezaan warna pada darah tersebut,atau tidak dapat diketahui perbezaan antara bentuk-bentuk darah yang keluar maka dihukumkan haid mengikut kadar adat kebiasaan haid puan yang sebelum ini. Oleh itu hendaklah dilihat kali terakhir haid yang normal berapakah hari haid dan berapakah hari sucinya sebelum datangnya gejala darah yang berterusan ini. Campuran bilangan hari haid dan bilangan hari suci itu dikenali sebagai kitaran haid. Sebagai contohnya kitaran kali terakhir haid sebelum ini ialah 8 hari haid dan selepasnya 20 hari suci, kemudian barulah terjadi gejala darah yang berterusan ini. Ini bererti kitarannya ialah 28 hari. Oleh itu apabila berlaku gejala darah yang berterusan ini maka jadikan 8 hari pertama sebagai haid dan 20 hari selepasnya sebagai suci. Selepas kitaran 28 hari itu jika masih ada darah lagi ia adalah permulaan haid yang baru pula. Begitulah seterusnya panduan yang dibuat selagi darah itu masih berterusan. Dan apabila darah itu berhenti maka kembalilah semula kepada cara asal kitaran haid.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 63

message user image