BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Salam. Saya nak tanya tentang sirah Nabi. Saya terdengar orang musyrikin tidak dibenarkan duduk di tanah arab. Adakah perkara ini benar? Minta penjelasan.

Terima kasih 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Terdapat beberapa perincian berkenaan hukum orang musyrikin atau kafir menetap di Tanah Arab.

Pertama: Terdapat hadis Nabi SAW yang memerintahkan supaya orang musyrikin dikeluarkan daripada Tanah Arab. Hadis daripada Ibnu Abbas RA daripada Nabi SAW:

‌أَخْرِجُوا ‌الْمُشْرِكِينَ ‌مِنْ ‌جَزِيرَةِ الْعَرَبِ

Maksudnya: Keluarkanlah orang musyrikin daripada Tanah Arab. (Riwayat al-Bukhari)

Kedua: Di dalam kitab Irsyad al-Sari ada menyatakan pandangan Imam al-Sayfi'ie bahawa hadis tersebut menjadi dalil larangan kepada orang kafir untuk menetap di Mekah, Madinah dan Yamamah. Larangan ini termasuk kafir zimmi dan kafir harbi.

Ketiga: Yang dimaksudkan Tanah Arab dalam hadis sebagai larangan kepada orang musyrikin atau kafir memasukinya adalah Tanah Hijaz. Ini meliputi sebahagian kawasan Saudi sekarang iaitu Mekah, Madinah, Jeddah, Tabuk, Yanbu, Taif dan Baljurashi. Adapun selain daripada Tanah Hijaz seperti Yaman dan Najran tidak termasuk Tanah Arab yang hadis sebutkan. Ini kerana, ketika Umar al-Khattab mengusir kafir zimmi daripada Tanah Hijaz, beliau tidak mengusir orang kafir daripada Yaman serta membenarkan orang kafir memasuki Tanah Arab selain Tanah Hijaz. (Irysad al-Sari)

Keempat: Firman Allah di dalam surah al-Taubah ayat 28:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا المُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا المَسْجِدَ الحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا  

Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini.

Ulama berbeza pendapat tentang orang kafir atau musyrikin memasuki Masjidil Haram. Menurut Imam al-Syafi'ie, orang kafir atau musyrik dilarang memasuki Masjidil Haram secara mutlak dan dibenarkan memasuki masjid yang lain jika ada keperluan. Menurut Imam Abu Hanifah, Yahudi dan Nasrani (kristian) tidak dilarang daripada memasuki Masjidil Haram kecuali selain daripada Yahudi dan Nasrani seperti penyembah berhala. Menurut Qatadah, orang musyrikin dilarang mendekati Masjidil Haram kecuali kepada mereka yang membayar jizyah (cukai) dan kepada orang kafir yang menjadi hamba kepada orang Islam. (Tafsir al-Qurtubi)

Kesimpulannya, orang kafir atau musyrik  keseluruhannya adalah dilarang daripada memasuki Masjidil Haram. Mereka juga dilarang daripada menetap di sekitar Tanah Hijaz seperti Mekah, Madinah dan lain-lain kawasan yang berkaitan. Adapun kawasan Tanah Arab selain Tanah Hijaz seperti Yaman dibenarkan kepada kafir zimmi untuk menetap dan tinggal di dalamnya. 

والله أعلم بالصواب

 

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 8

message user image