Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya nak tanya permasalahan solat. Saya masuk solat berjemaah waktu asar sebagai masbuk pada rakaat kedua. Imam pada rakaat keempat setelah selesai sujud selepas duduk antara 2 sujud tiba tiba bangkit untuk berdiri raakat kelima padahal sepatutnya duduk tahyaat akhir. Imam mungkin terlupa. Makmum lain sempat menyebut subhanallah dan kekal pada tahyaat akhir. Ada yang bangkit untuk mengikuti imam (Tak sah sebab lebih rakaat?) dan ada yang mufarakaah dengan terus membaca tahyaat dan salam tanpa menunggu imam untuk mengakhiri solat. Saya sebagai jemaah masbuk bagaimana? Adakah langkah saya menunggu imam menghabiskan rakaatnya dan ikuti tahyaat akhir sah dan wajar? Atau apa yang paling afdal perlu saya lakukan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, dalam situasi solat berjemaah, jika imam menambah satu lagi rakaat sedangkan solat sudah sempurna rakaatnya maka makmum tidak boleh ikut serta imam tersebut. Perkara pertama yang perlu dilakukan makmum adalah menegur dan mengingatkan imam melalui ucapan Subhanallah. Jika imam turun semula selepas menyedari kesilapannya maka teruskan solat berjemaah seperti biasa. Namun jika imam tidak turun untuk tahiyat akhir dan meneruskan rakaatnya, maka di sini terdapat beberapa keadaan. Jika makmum tersebut adalah makmum muwafiq yang ragu-ragu (dia sendiri tidak pasti sama ada rakaat yang ditambah itu rakaat ke 4 atau lima) maka tindakannya sama ada dia mufaraqah daripada imam atau menunggu imam turun kembali dalam keadaan tahiyat akhir dan memberi salam bersama imam. Manakala makmum yang yakin bahawa imam telah tersalah dengan menambah rakaat maka dia tidak boleh ikut serta imam tersebut wajib mufaraqah, bahkan tidak boleh menunggu imam itu untuk turun kembali, jika dia ikut serta imam atau menunggu maka batal solatnya. Adapun dalam situasi tuan, makmum yang masbuq wajib mufaraqah jika dia tahu imam tersebut telah terlebih rakaat. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Ba ‘Alawi -رحمه الله تعالى - di dalam karangannya “Bughyah al-Mustarsyidin”, kata beliau: قام الإمام لخامسة لم يجز للمأموم متابعته ولو مسبوقا ولا انتظار بل تجب مفارقته. نعم في الموافق تردد في جواز الانتظار Maksudnya: “Apabila Imam bangun untuk rakaat ke lima maka makmum tidak boleh mengikutinya walaupun dia makmum yang masbuq, begitu juga tidak boleh menunggu, bahkan wajib mufaraqah. Ya.. bagi makmum muwafiq yang teragak-agak maka boleh menunggu imam”. Untuk situasi begini, solat imam adalah sah jika dia syak solatnya masih tidak cukup rakaat. Manakala makmum dalam situasi ini berada dalam keadaan jahil terhadap hukum hakam solat, maka dimaafkan bagi mereka yang turut serta bersama imam menambahkan rakaat sedangkan dia perasan bahawa rakaat itu adalah rakaat ke – 5, maka di tahiyat akhir hendaklah sujud sahwi. Jika berlaku lagi selepas ini (setelah mendapat ilmu) maka solatnya tidak sah bahkan wajib diulangi. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.