Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum panel. Adakah berdosa apabila berperasaan sedikit berahi (sepintas lalu) apabila terlihat sesuatu yang disukai tanpa kawalan (bukan disengajakan) namun dalam masa yang sama masih tenang kerana rational dan mengelak apa2 fikiran mahupun tindakan yang kotor?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Pandangan pertama yang bersifat sepintas lalu tidak berdosa kerana ia berlaku di luar kawalan kita. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Buraydah RA, Rasulullah SAW telah bersabda:
يَا عَلِيُّ لا تُتْبِعْ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ الأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الآخِرَةُ
Maksudnya: Wahai Ali, jangan ikuti pandangan (pertama) dengan pandangan (berikutnya), karena pandangan pertama milik kamu (tidak berdosa) sedangkan pandangan berikutnya bukan milik kamu (berdosa). (Riwayat al-Tirmizi)
Setelah itu, kita hendaklah menjaga pandangan daripada melihat perkara yang tidak dibenarkan oleh syarak berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 30:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
والله أعلم بالصواب
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 68