BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam ustaz..saya nk tanya beberapa soalan mengenai zakat emas simpanan dan juga zakat simpanan..

Zakat Emas Simpanan

1) Berapa zakat yg saya perlu bayar sekiranya emas simpanan yg ada ni, hanya milik saya yang cukup nisab..milik suami & anak2 tak cukup lg..adakah saya perlu membayar zakat emas utk emas simpanan saya sahaja @ kna jumlahkan semua emas simpanan yg ada termasuk suami & anak2, lepastu baru kira berapa zakat yg perlu dibayar..?

2) Saya nak bayar zakat emas yg dh cukup nisab & haul, tp saya kena jual emas tu untuk bayar zakat sbb duit cash simpanan yg ada mencukupi untuk perbelanjaan keperluan hidup & persediaan kecemasan sahaja..sekiranya saya menjual emas tu utk bayar zakat tp menyebabkan nisab jd tidak mencukupi, bagaimana kiraannya ustaz?

Zakat Simpanan

3) Sekiranya saya dh bayar zakat emas simpanan, adakah saya masih perlu mengira nilai emas simpanan saya dlm pengiraan zakat simpanan ini? Ataupun saya hanya perlu mengira zakat wang simpanan sahaja samada dlm bank & di luar bank?

4) Bagaimana pengiraan zakat simpanan? Adakah perlu dikira sekali dgn simpanan dalam tabung haji yg telah dibayar zakat & jumlah simpanan semasa pendapatan yg telah dibayar zakat pendapatan setiap bulan melalui potongan gaji? Dan emas perhiasan yg tidak cukup uruf termasuk skali tak dlm pengiraan zakat simpanan ini?

5) Berapa nisab & haul zakat pendapatan? Adakah sama seluruh Malaysia @ berbeza mengikut negeri? Nisab ini akan berubah @ sama sj setiap tahun?

Terima kasih..


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

1) Kewajipan zakat adalah kewajipan yang bersifat individu. Oleh itu, setiap individu perlu menilai harta masing-masing sama ada cukup nisab atau tidak tanpa menggabungkannya dengan harta individu lain termasuk anak.

2) Sekiranya sesuatu harta telah cukup nisab, maka zakat wajib dikeluarkan sekalipun jumlah hartanya setelah dikeluarkan zakat berkurang sehingga menyebabkan jumlahnya tidak cukup nisab. Hal ini kerana kewajipan zakat dilihat pada penghujung haul sama ada cukup nisab atau tidak.

3) Zakat emas dan zakat simpanan adalah bersandarkan kepada 'illah yang sama kerana nisab zakat simpanan dikira berdasarkan nilai semasa emas dan dikeluarkan sebanyak 2.5% sama seperti zakat emas. Oleh itu, ketika membayar zakat simpanan atau zakat emas, keduanya hendaklah digabungkan bagi mengira nisab dan jumlah zakat yang perlu dikeluarkan.

4) Pengiraan zakat simpanan: hendaklah digabungkan kesemua wang atau harta daripada semua akaun bank termasuk simpanan Tabung Haji bagi mencukupkan nisab. Sekiranya nisab telah mencukupi dan hendak dikeluarkan zakat, maka jumlah wang dalam akaun Tabung Haji perlu ditolak kerana ianya telah dizakatkan.

Emas perhiasan yang tidak cukup uruf tidak perlu dimasukkan dalam taksiran zakat tetapi emas simpanan perlu dimasukkan.

Sebagai contoh: Nisab RM24,000

Akaun A = RM10,000 + Akaun B = RM5,000 + Akaun Tabung Haji = RM10,000, Nilai emas simpanan = RM5,000

Orang ini dikenakan zakat kerana jumlah hartanya adalah RM30,000. Namun zakat hanya dikeluarkan daripada RM20,000 (2.5% iaitu sebanyak RM500) tanpa memasukkan amaun daripada akaun Tabung Haji kerana ia telah dizakatkan.

5) Nisab pada setiap tahun adalah berbeza. Tuan boleh merujuk kepada laman web Pusat Zakat di negeri masing-masing. Bagi negeri Selangor, boleh merujuk Lembaga Zakat Selangor di pautan - https://www.zakatselangor.com.my/info-terkini-nisab-emas-dan-perak/

Kiraan zakat juga boleh dibuat melalui pautan https://www.zakatselangor.com.my/calkulator-zakat/

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 8

message user image