BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya dan suami balik ke kampung dari terengganu ke melaka pada hari khamis dan tinggal di melaka sehingga hari sabtu. Persoalan saya, adakah wajib suami saya menunaikan solat jumaat di kampung kami di melaka?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang ditanya, hukum bagi seorang yang Islam, baligh, berakal, merdeka (bukan hamba), lelaki dan sihat tubuh badan adalah wajib ke atasnya solat Jumaat. Hal ini berdasarkan ayat al-quran di dalam surah al-Jumu'ah ayat 9:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Kemudian para ulama menambah lagi perincian mengenai syarat-syarat wajib Jumaat dan syarat-syarat sah solat Jumaat. Antara syarat wajib solat Jumaat ialah mereka bermastautin atau bermukim, dan bukannya musafir seperti hadis daripada Jabir RA bahawa Baginda SAW bersabda: 

مَنْ ‌كَانَ ‌يُؤْمِنُ ‌بِاللَّهِ ‌وَالْيَوْمِ ‌الْآخِرِ ‌فَعَلَيْهِ ‌الْجُمُعَةُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ إِلَّا مَرِيضٌ أَوْ مُسَافِرٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيُّ 

Maksudnya: Barangsiapa yang beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat maka hendaklah dia solat jumaat pada hari jumaat melainkan bagi mereka yang sakit, bermusafir, wanita, kanak-kanak ataupun bayi. (Riwayat al-Daruqutniy)

Oleh itu, di dalam mazhab Syafi'i hukum bagi orang yang bermusafir adalah tidak wajib ke atasnya solat Jumaat sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya al Majmu’: tidak diwajibkan solat Jumaat ke atas orang musafir dan ini adalah pegangan mazhab kami yang tiada perselisihan dalam kalangan kami. Walau bagaimanapun, tidak menjadi suatu kesalahan bagi mereka yang musafir turut melakukan solat Jumaat bahkan digalakkan jika mempunyai masa dan keadaan yang mengizinkan.   

Bagi mendapatkan rukhsah tidak menunaikan solat Jumaat, atau solat jamak dan qasar semasa berada di kampung, suami hendaklah tidak berniat untuk tinggal melebihi 3 hari, tidak termasuk hari sampai dan hari keluar. Kampung itu bukanlah tempat di mana suami ingin menjadikannya tempat untuk bermastautin, sebaliknya hanya menginap untuk sementara. Walau bagaimanapun, sekiranya hari pertama bermusafir adalah hari Jumaat, suami perlu keluar daripada kawasan perumahan tempat di mana dia tinggal sebelum masuk waktu solat Subuh untuk mendapat keuzuran tidak menunaikan solat Jumaat. Namun seandainya keluar selepas masuk waktu solat Subuh, maka solat Jumaat adalah wajib. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 58

message user image