BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalammualaikum w.b.t ustaz, saya ingin bertanya saya membuat puasa sunat 6, pada bulan syawal, adakah puasa tersebut boleh disekali kan dengan puasa ganti atau sebaliknya. Minta penjelasan dari pihak ustaz. Sekian wassalam.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, samaada yang fardhu mahupun yang sunat. Jika dilakukan puasa sunat bersama sunat dibolehkan. Terdapat ulama’ Syafi’iyyah yang berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala pada bulan syawal yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. Setelah diteliti, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Oleh itu, Sebaiknya lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain berdasarkan amalan Sayyidah Aisyah Radiyallahu ‘anha yang melewatkan puasa qada’ beliau pada bulan Sya’ban, seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Aisyah berkata: كان يكون عليَّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجيء شعبان، لمكان النبي صلى الله عليه وسلم. متفق عليه Maksudnya: “Aku masih berhutang puasa Ramadan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Sya’ban tiba dan itu kerana sibuk melayani Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.” والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 167

message user image