BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan, maaf saya ingin bertanya soalan yang telah menghantui saya untu beberapa bulan ni. Dulu saya pernah menjual beberapa barangan saya, dan sewaktu itu saya agak jahil dan tidak beberapa tahu tentang muamalat jual beli dalam islam. Saya ingin bertanya adakah mempunyai sifat gharar sekirannya saya telah mengambil keuntungan di atas kos pos atau kos insuran pengeposan sewaktu saya menjual barang-barangan saya tersebut. Contohnya, kos pengeposan JNT berharga Rm7.40 tetapi saya telah memberi harga sebanyak Rm8 kepada pembeli saya kerana mengikut harga2 yang telah ditetapkan seller2 lain di social media. Adakah ianya dikira tidak dibolehkan? saya juga kadang2 telah menggunakan voucher yang diberikan Jnt kepada akaun saya yang membolehkan saya mendapat harga yang murah lagi berbanding 7.40. Contohnya, potongan sebanyak Rm2 atau Rm1. Adakah keuntungan daripada harga tersebut menyebabkan saya memakan harta yang batil? Bagaiman pula dengan kos insuran pengeposan yang sebanyak Rm 1.60 tetapi saya telah bundarkan menjadi Rm2.00 dan telah memberikan harga tersebut kepada pembeli saya. Saya betul2 harap tuan mufti dapat menjawab soalan saya kerana saya sudah buntu, berfikir adakah saya perlu berterus terang kepada pembeli2 saya untuk meminta maaf kepada mereka dan cuba untuk mengembalikan duit mereka kembali. Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Dalam isu ini, Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya al-Ulum al-Din menerangkan bahawa pada asalnya ghabn (penyamaran harga dalam berniaga) adalah dibenarkan selagi mana masih boleh diterima pada adat kebiasaan. Ini kerana tujuan perniagaan itu sendiri adalah untung, yang melibatkan ghabn walaupun sedikit. Kata beliau, sebahagian ulama mengehadkan untung pada satu pertiga harga barang dan keharusan ini terikat dengan syarat tidak berlaku penipuan dan kezaliman.

Oleh yang demikian, mengambil untung berlipat kali ganda dalam perniagaan bukanlah sejenis riba dan diharuskan selagi mana tidak membawa kepada penindasan dan kezaliman. Ini kerana keuntungan itu sendiri bersifat relatif dan tidak boleh dibandingkan secara mutlak dengan harga pasaran sebelum ditolak hasil jualan itu dengan perbelanjaan yang perlu ditanggung peniaga sebelum mendapatkan keuntungan bersih. Ini berbeza mengikut zaman, tempat dan jenis barang jualan itu sendiri. Namun, saranan kepada para peniaga agar memperbanyakkan sedekah bagi menyucikan harta yang diperolehi, seperti mana sabda Rasulullah SAW:

يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ إِنَّ الشَّيْطَانَ وَالإِثْمَ يَحْضُرَانِ البَيْعَ فَشُوبُوا بَيْعَكُمْ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya: Wahai para peniaga! Sesungguhnya syaitan dan dosa itu hadir dalam aktiviti jual beli. Maka sucikanlah jual beli kamu dengan bersedekah.

(Riwayat al-Tirmidhi)

Kesimpulannya, berdasarkan margin keuntungan yang pihak tuan kenakan, tiada kenaikan yang melampau dan ia diharuskan. Lebihan bayaran yang dikenakan terhadap kos pengantaran atau insuran boleh dianggap sebagai kos perkhidmatan yang diberikan. Begitu juga pengunaan voucher untuk mengurangkan kos penghataran adalah hak tuan yang tuan perolehi daripada pihak lain, maka ia diharuskan.

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 110

message user image