BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..

Saya ingin bertanya masalah berkaitan najis. Pada suatu hari, saya ternampak 2 kesan kencing pada kereta di pintu dan bahagian depan. Kebiasaannya di area rumah memang ada kucing. Jadi saya anggap kencing kucing pada mulanya. Saya siram dengan air. Air basuhan mengalir atas simen di tempat parking. Kemudian selepas selesai membasuh. Saya dapati ada banyak tapak kaki anjing di luar kawasan parking kereta di atas pasir. Tapak kaki itu hampir dengan kereta. Saya juga jumpa 1 tapak kaki kucing berdekatan situ. Saya menjadi was was adakah kencing anjing atau kucing. Saya tidak dapat membezakannya. Perkara ini berlarutan beberapa hari. Saya menjadi was was adakah saya perlu menyertu/samak kereta dan kawasan simen yang telah mengalir air basuhan dan juga kasut yang telah memijak kawasan basuhan semasa membasuh. Kuantiti air yang di gunakan waktu itu juga tidak lah banyak. Saya risau jika itu adalah najis anjing maka telah merebak di serata tempat. Kawasan simen parking kereta juga menjadi tempat main anak saya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan: 

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: Hukum asal segala sesuatu adalah suci. 

Ini kerana pada asalnya, hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqah yang lain juga ada menyatakan bahawa:

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan. 

Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu dibersihkan atau disucikan. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak boleh menjadikan sesuatu itu menjadi bernajis. 

Oleh itu, merujuk kepada persoalan tuan;

Tidak boleh menganggap kesan air kencing pada pintu kereta tersebut adalah kesan daripada anjing atau kucing. Berpegang kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu seperti bau, rasa dan warnanya, maka ia adalah suci. Namun, jika tuan mendapati terdapat kesan najis kucing pada pintu kereta berkenaan, hendaklah dibersihkan dengan air mutlak sehingga hilang sifat najis tersebut seperti bau, rasa atau warnanya. Tidak perlu dibersihkan satu kawasan parking kereta tersebut, cukup sekadar tempat yang diketahui terkena najis setelah diketahui kasut atau selipar tersebut terdapatnya najis kucing. Kesan tapak kaki anjing yang berada disekitar kawasan parking kereta tidak menjadikan kesan air yang terdapat pada pintu kereta tersebut adalah daripada kencing anjing. Ini kerana ianya adalah sebagai andaian tuan sahaja. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 50

message user image