BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Tuan/Puan,

Saya, xxxxx, tinggal di xxxxx,  ingin bertanya tuan/puan beberapa soalan/kemusykilan seperti berikut:

Pada sekitar bulan Mei tahun 1990, saya bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti haram iaitu Skim Cepat Kaya di Ipoh, Perak yang mana pada ketika itu cukup popular di negeri Perak.  Saya terlibat bekerja di situ disebabkan mengikuti suami kepada Ibu Saudara saya yang menjadi 'pegawai' di syarikat skim cepat kaya tersebut.  Saya yang pada ketika itu baru sahaja kematian ibu kandung saya pada 24 Disember 1989, tiada tempat bergantung (bapa telah meninggal dunia pada tahun 1986) telah diambil oleh Ibu Saudara tersebut untuk tinggal bersama-sama mereka di Ipoh.  Saya bekerja di situ tidak lama, iaitu kurang dari setahun dan tidak lama kemudian syarikat tersebut telah menghentikan operasi dan diserbu oleh 'pelabur-pelabur' yang telah diperdaya dan melalui berita yang disampaikan Pengarah syarikat itu telah ditangkap pihak berkuasa.  Soalan:  Saya ingin mendapat penjelasan Tuan/Puan, bagaimana saya mahu menebus kesalahan/dosa saya bekerja di syarikat tersebut yang 'menipu/memperdaya' pelabur-pelabur yang mana saya menerima gaji sebanyak lebih kurang RM300 tempoh 7 ke 8 bulan bekerja.  Perlukan saya nilaikan semula duit gaji yang telah saya terima itu untuk saya 'bayar/gantikan' contohnya wakafkan duit saya ke tempat-tempat yang disarankan atau bagaimana?.  Untuk pengetahuan tuan/puan, saya akan bersara dari penjawat awam pada bulan Julai 2024, jadinya insyaallah ada bayaran ganjaran pencen yang saya boleh gunakan. 

2.  Bagaimana pula pada pandangan tuan/puan cara untuk menebus kesalahan/dosa saya pada zaman kanak-kanak dulu sekiranya pernah terambil/termakan buah-buahan kebun sedara-mara tanpa pengetahuan mereka (telah jadi darah daging) dan mereka juga telah tidak diketahui berada di mana atau masih hidup atau telah meninggal dunia.  Adakah berguna duit ganjaran pencen saya itu untuk saya tebus kesalahan/dosa tersebut?.

3.  Bagaimana cara saya mahu menebus kesalahan/dosa pada zaman lampau dengan orang seperti rakan sekerja yang mana saya sebagai manusia biasa tidak lepas dari melakukan kesalahan/dosa mungkin ada saya mengumpat, mengadu, selisih faham, menyakiti hati dan sebagainya kepada rakan sekerja di beberapa tempat saya bekerja dahulu.  Saya pun telah tidak bertemu mereka lagi.

Sekian, semoga mendapat penjelasan dari tuan/puan.  

Terima kasih.

 

 

       

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 

Merujuk kepada soalan yang diajukan;

Soalan Pertama:

Duit gaji yang diketahui penghasilannya datang daripada hasil pekerjaan yang haram adalah haram mengambilnya. Secara ringkas hasil gaji yang diterima ketika bekerja dengan syarikat skim cepat kaya itu termasuk di dalam kategori harta haram dan dianggap sebagai tidak patuh syariah kerana bersubahat di dalam mengambil harta orang lain dengan cara penipuan. Wang yang diperolehi itu hendaklah diserahkan kepada pemiliknya. Seandainya pemilik wang itu tidak dapat diketahui atau dijumpai, maka wang tidak patuh syariah tersebut perlu dibelanjakan untuk maslahah umum seperti membaiki jalanraya, membaiki tandas dan lain-lain perkara yang menjadi kegunaan orang ramai. 

Cara paling mudah melupus harta tidak patuh syariah adalah dengan menyerahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri di seluruh Malaysia bertanggungjawab menguruskan harta-harta tidak patuh syariah termasuklah hasil-hasil haram seperti duit rasuah, duit menang nombor ekor dan lain-lain hasil tidak patuh syariah. Untuk maklumat lanjut tentang pelupusan harta tidak patuh syariah boleh ke pejabat Majlis Agama Islam Negeri yang berdekatan dengan tempat tinggal. 

Soalan Kedua:

Perbuatan ketika usia kanak-kanak adalah sesuatu yang dimaafkan sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثٍ عَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنْ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ وَعَنْ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: Diangkat pena (tidak berdosa) daripada tiga golongan manusia: Iaitu orang yang tidur hingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia baligh, dan orang gila hingga dia berakal. (Riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadis ini dapatlah disimpulkan bahawa perbuatan sewaktu kanak-kanak dahulu adalah perbuatan yang dimaafkan dan selebihnya apa yang berlaku pada waktu itu mohonlah kepada Allah semoga pemilik pohon buah-buahan yang diambil dahulu dikurniakan kesejahteraan kehidupan didunia dan akhirat.

Soalan Ketiga:

Mengumpat, mengadu, selisih faham, menyakiti hati dan sebagainya kepada rakan sekerja merupakan kesalahan dan dosa sesama manusia yang perlu kepada kemaafan daripada orang yang diumpat. Mengadu domba, berselisih faham, menyakiti hati atau lain-lain perkara yang melibatkan phak ketiga lazimnya akan berpenghujung dengan mengumpat perihal orang itu. Mengumpat sebagaimana firman Allah SWT Surah Al-Hujurat ayat 12:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Menurut Imam Al-Nawawi rahimahullah dalam kitabnya al-Azkar, menerangkan bahawa dosa mengumpat ini melibatkan hak Allah SWT dan hak manusia. Allah SWT di dalam ayat di atas memberi peringatan kepada hamba-Nya untuk menyedari dan memperbetul keadaan dan kesalahan jika melakukannya.Oleh itu, langkah untuk mensucikan diri daripada dosa mengumpat terutama kepada dua hak ini adalah suatu perkara yang perlu difahami dan diusahakan agar diri tidak terjerumus dalam dosa mengumpat ini lagi iaitu melalui:

      1-Dari segi hak Allah SWT:

Dalam menebus dosa mengumpat ini, memohon taubat daripada Allah SWT atas dosa yag dilakukan adalah satu perkara yang utama dan wajib bagi setiap individu atas dosa yang disedari dan tidak disedari. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Tahrim ayat 8:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'Taubat Nasuha'. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia, sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu".

Disyaratkan bagi orang yang bertaubat daripada dosa mengumpat ini memenuhi hak Allah SWT melalui taubat dengan  3 syarat (i) untuk meninggalkan dosa tersebut,  (ii) menyesali perbuatan doasanya dan  (iii) berazam untuk tidak melakukannya lagi.

      2-Dari segi hak manusia:

Namun begitu, perlu diketahui bahawa dosa mengumpat ini bukan pada hak Allah SWT sahaja malah ia melibatkan hak manusia. Hal ini dapat difahami daripada penyataan Baginda Nabi SAW di dalam sebuah hadis tentang keadaan dan akibat bagi manusia yang melakukan kezaliman terhadap manusia ketika di hari akhirat kelak. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

رَحِمَ اللَّهُ عَبْدًا كَانَتْ لأَخِيهِ عِنْدَهُ مَظْلَمَةٌ فِي عِرْضٍ أَوْ مَالٍ فَجَاءَهُ فَاسْتَحَلَّهُ قَبْلَ أَنْ يُؤْخَذَ وَلَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ فَإِنْ كَانَتْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ حَسَنَاتِهِ وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ حَمَّلُوا عَلَيْهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِمْ

Maksud: Barangsiapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara lain (mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya, bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu dan diberikan kepada orang itu, kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya. (Riwayat Al-Tirmidzi)

Imam Al-Nawawi dalam kitab Al-Azkar dan Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulum Al-Din menjelaskan lagi syarat taubat ini, bagi mereka yang hendak membersihkan diri daripada dosa mengumpat hendaklah mereka mengembalikan semula hak atas kezaliman yang dilakukan, meminta ampun dan meminta pembebasan daripada pemiliknya. Adapun jika tidak dimaafkan oleh pemiliknya maka teruskan berusaha memohon ampun kepadanya moga-moga memperoleh kemaafan dari orang tersebut.

Manakala, tentang persoalan perlu atau tidak menerangkan tentang perkara yang diumpat kepada orang yang diumpati, Imam Al-Nawawi menerangkan para ulama berselisih pendapat dalam hal ini;

  1. Sebahagian ulama mengatakan seseorang itu perlu menjelaskan perkara yang diumpati dan,

  2. Sebahagian ulama pula mengatakan seseorang itu tidak perlu menjelaskan perkara yang diumpatkan tersebut, cukup hanya memohon maaf sahaja kepadanya dan menyebut kebaikan-kebaikannya.

Walaubagaimanapun, jika didapati mudarat lebih besar jika menyebutkan perkara tersebut maka tidak perlu menjelaskannya adalah lebih baik. Jika orang yang diumpati itu telah meninggal dunia atau tiada, maka tidak mungkin untuk mendapatkan pelepasan daripadanya, Oleh itu para ulama berpendapat: Hendaklah (orang yang mengaku bersalah ini) memohonkan ampun untuknya, berdoa, dan banyak memperbanyak berbuat amalan kebaikan. Sesungguhnya amalan kebaikan tersebut akan menghapuskan keburukan dosa yang telah dilakukan. Sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 114:

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ ‎

Maksudnya: Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

Apa yang boleh lakukan juga adalah dengan menghadiahkan pahala seperti bacaan Al-Quran, sedekah dan sebagainya kepada orang yang dizalimi atau diumpat. Mudah-mudahan, dengan izin Allah, ia dapat menebus kesalahan atau dosa yang dilakukan.

Begitulah juga keadaannya dengan dosa-dosa lain yang  melibatkan hak manusia sekiranya mampu untuk berjumpa dan memohon kemaafan maka itulah jalan terbaik yang utama tetapi jika tidak mampu maka lakukan seperti yang dinyatakan di atas. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa yang telah dilakukan baik secara sengaja atau tidak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 72

message user image