Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Anak lelaki saya berusia 8 tahun kencing malam. Air kencing terkena pada seluarnya dan basah. Saya curah air paip pada seluar yang terkena najis tu. Kemudian saya letak sabun pencuci lalu saya sental guna berus. Lepas tu, saya bilas seluar tu dengan air paip lagi. Selepas tu, saya masukkan seluar tersebut ke dalam mesin basuh automatik & basuh bersama dengan pakaian lain. Soalan saya: Adakah seluar tersebut di kira suci? Adakah pakaian lain yang berada dalam mesin basuh tu di kira najis / bersih? Mohon penerangan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, seluar anak yang terkena air kencing adalah bersih dan suci setelah puan membersihkannya sehinggalah hilang bau, warna dan ‘ainnya, secara berasingan sebelum masuk ke dalam mesin basuh. Pakaian lain yang berada di dalam mesin basuh juga tidak bernajis. Ini kerana puan telah membasuhnya terlebih dahulu seluar yang terkena air kencing, sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh bersama dengan pakaian lain. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.