BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualiakum,

Saya ingin mendapatkan sedikit pencerahan mengenai Lafaz Kinayah, apa yang saya faham akan lafaz ini sekiranya tidak bersama niat maka tiada talak yang jatuh dan tidak perlu dirujuk.

Bagi cerita saya, kehidupan sebagai suami isteri selama 22 tahun sememangnya ada pasang surutnya lebih lebih lagi dalam pertengkaran yang mana saya memiliki isteri yang hati keras sama sekali. Kadang kadang saya terpaksa menakut nakut dia dengan lafaz kinayah dalam keadaan marah supaya dia boleh berfikir. Persoalan nya sekarang isteri saya telah mengambil serius perkara ini dan telah mencatitkan beberapa kali sehingga dia beranggapan saya telah menjatuhkan talak sehingga talak 3, sedangkan lafaz lafaz tersebut bagi tujuan menyedarkan diri tanpa niat (Demi Allah) untuk berpisah dengan isteri tercinta kerana Allah Taala sentiasa menguji kesabaran hambanya.

Jadi sekarang adakah pernikahan saya ini masih sah atau sebaliknya?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Sebelum saya menjawab persoalan Tuan, baik kita fahami beberapa perkara terlebih dahulu seperti berikut:

1. Lafaz talak sorih (jelas) adalah perceraian yang menggunakan lafaz cerai atau talak, seperti ucapan suami kepada isteri: "aku ceraikan engkau" atau "aku talak engkau". 

2. Lafaz sorih (jelas) jika diucapkan akan jatuh talak walaupun si suami tidak berniat ceraikan isteri sama ada dalam keadaan marah atau tidak. Begitu juga jika diucapkan secara main-main atau berjenaka dengan lafaz sorih (jelas) maka jatuh talak dengan serta merta. 

2. Lafaz talak kinayah (tidak jelas atau kiasan) adalah penceraian menggunakan lafaz selain perkataan cerai atau talak yang boleh membawa kepada maksud bercerai atau talak. Contohnya seperti ucapan suami kepada isteri: "engkau bebas sekarang", "kita tidak ada apa-apa hubungan lagi", "aku lepaskan engkau" dan sebagainya. 

4. Lafaz kinayah tidak akan menjatuhkan talak melainkan sekiranya suami berniat menceraikan isteri. Jika suami tidak berniat untuk menceraikan isteri, maka talak tidak berlaku.  

5. Talak juga boleh berlaku secara taklik, iaitu mengkaitkan jatuh talak dengan sesuatu. Seperti ucapan suami kepada isteri: "sekiranya engkau buat lagi, maka jatuh talak". Oleh itu, sekiranya isteri melakukan perkara tersebut, maka talak terjadi.

Berdasarkan kenyataan yang tuan nyatakan, tuan tidak menyatakan dengan jelas lafaz yang tuan ucapkan kepada isteri. Oleh sebab itu, kami tidak dapat memberikan pandangan hukum terhadap lafaz yang tuan ucapkan kepada isteri tuan.

Seandainya terdapat kesamaran atau perselisihan berkaitan perkara talak, sama ada berlaku atau tidak, maka disarankan agar tuan dapatkan pencerahan serta kepastian daripada Mahkamah Syariah terdekat sebagai pihak yang berbidangkuasa menentukan sesuatu lafaz itu menyebabkan jatuh talak ataupun tidak.  

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 96

message user image