BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

 

Tuan/Puan,

 

Saya ingin bertanya beberapa soalan.

Sebelum itu saya ceritakan dari awal, suami saya mempunyai seorang adik perempuan, yang nakal dan tidak mendengar kata dari zaman persekolahan lagi, ketika itu suami saya, adik lelaki suami (kini sudah arwah) dan bapa banyak menjaga , menegur adik perempuannya itu, adik perempuannya juga kerap curi-curi keluar dengan lelaki, suami, arwah adik lelaki dan bapanya sentiasa berwaspada dan mencari kemana adiknya pergi dan membawa balik kerumah, pelbagai nasihat dan cara mereka gunakan supaya adik perempuannya berubah, sehinggakan bapanya mengikat kaki adik perempuamnya dengan tali di dalam bilik , berharap dia berubah dan insaf, namum tiada keinsafan dan perubahan berlaku, dia tetap dengan cara dan tingkahlakunya.

Setelah dewasa dan tamat belajar suami berhijrah ke bandar untuk bekerja dan hanya arwah adik lelaki suami & bapanya yang ada di kampung mengawal & menjaga tindak tanduk adik perempuanya, tetapi suami masih lagi mengawal dan menjaga secara jarak jauh begitu juga ketika suami menyambung pelajar, sentiasa menjaga dan berwaspada akan tindak tanduk adik perempuannya. Seteleh kematian arwah adik lelaki suami lebih kurang setahun , adik perempuannya meminta izin bapanya untuk duduk dirumah sewa untuk memudahkannya berkerja, rumah sewa terletak di dalam negeri yang sama yang keluarga suami tinggal, tetapi dibandar. Lebih kurang setahun adik perempuannya menyewa suami mendapati adik perempuannya hamil anak luar nikah, kehamilan ini pada awanya disorok oleh ibu mertua, tetapi ketika kami pulang ke kampung kami medapati adik perempuan suami telah hamil dalam usia kandungan lebih kurang 7-8 bulan, Untuk pengetahuan pihak tuan setelah dia hamil dia berpindah dari rumah sewa ke rumah mertua dalam usia kandungan 6-7 bulan, ketika ini usia adik perempuannya awal 20-an. Mengikut kata adik perempuannya lelaki yang menyebabkan kehamilannya telah meniggal dunia.

Setelah mendapat tahu kehamilan itu, keluarga suami mencari pusat perlindungan sementara untuk dia melahirkan anaknya. Ketika menempatkannya di pusat itu keluarga sudah berbincang  selepas dia melahirkan anak tersebut , anak itu diberikan kepada keluarga angkat (sudah ada keluarga yang ingin menjadikan anaknya sebagai anak angkat) dan adiknya boleh memulakan hidup baru. Pihak keluarga berusaha untuk menutup aib atas apa yang terjadi.

Akan tetapi setelah melahirkan anak (anak perempuan) tersebut adiknya, tidak mahu menyerahkan anaknya untuk dijadikan anak angkat, semuanya nasihat tidak diikuti dan ditolak sepenuhnya. Ketika keluarga memberi nasihat untuk meyerahkan anaknya itu adiknya tidak mahu mengikut malah tidak mengaku suami dan kakaknya (adik prempuan suami yang lain) sebagai ahli keluarganya, hanya kerana menasihati dan  menyuruhnya meninggalkan anak itu dan membina kehidupan baru.  Dan sehingga kini adiknya membesarkan anak tersebut di pusat perlindungan / jagaan itu dan dia turut berkerja di pusat jagaan itu (kini anak itu sudah berumur 5-6 tahun).

 Setelah beberapa tahun (dalam setahun atau setahun lebih) dari kelahiran itu ibu mertua menghubungi dan berhubung dengan adik perempuannya, dan mereka kerap berhubung. Setahun dua ini,  ibu bapa suami kerap berhubung dengan adik perempuan itu dan anaknya melalui telefon. Adiknya juga pulang ke kampung seperti menyambut hari raya dan sebagainya dan tidak dibolehkan untuk membawa anak luar nikahnya.

Isunya sekarang, baru-baru ini adik perempuannya  memohon izin (seolah-olah tiada apa yang berlaku) untuk bermalam di rumah kami untuk beberapa hari bersama-sama anak luar nikahnya itu (sebelum ini suami mengizinkan dia bermalam dirumah kami dengan syarat tidak membawa anak luar nikah itu). Suami masih tidak boleh menerimanya apa yang dilakukan oleh adiknya setelah pelbagai cara dan nasihat diberikan sebelum ini tidak diendahkannya, malah tidak mengaku itu adalah abangnya atas nasihat yang diberikan demi menjaga kehormatan dan maruah keluarga.

 Ini persoalan-persoalan saya. 1) Adakah berdosa untuk menolak permintaanya untuk menbawa anak luar nikahnya bermalam di rumah kami, setelah adiknya membuang suami daripada hidupnya dan suami dan keluarga sudah menasihati dan menegurnya dari awal? 2) Adakah berdosa suami dan keluarga tidak mempedulikkan anak luar nikah tersebut (setelah nasihat diberikan dari awal, sebab suami dan keluarga sedar tidak mudah untuk membesarkan anak luar nikah). 3) Adakah berdosa suami tidak membenarkan perjumpaan secara fizikal antara anak luar nikah itu dan datuk neneknya (ibu bapa suami).  4) Adakah berdosa suami dan keluarga tidak mempedulikan adiknya dan anak luar nikah itu?

Sejujurnya suami sangat-sangat kecewa dan hancur lulur hatinya setelah sekian lama dia menjaga, menegur dan menasihati adiknya tetapi tidak dihiraukan dan diendahkan langsung, hingga terjadi kejadiaan yang tidak sepatutnya berlaku (melahirkan anak luar nikah).

Kerjasama daripada pihak tuan saya akhiri dengan ucapan terima kasih.

Sekian Terima Kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Sesungguhnya anak luar nikah atau anak tidak sah taraf tidak berdosa di atas perbuatan yang dilakukan oleh ibu dan lelaki yang menghamilkannya. Yang bersalah adalah ibu serta lelaki tersebut. Namun, sebesar manapun kesalahan serta dosa seseorang, sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun dan akan menggantikan segala kejahatan yang dilakukan menjadi kebaikan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Furqan ayat 70:

 إِلَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksdudnya: Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dari segi nasab, anak luar nikah dinasabkan kepada ibu dan hubungannya dengan anak-anak ibu itu yang sah taraf adalah adik beradik seibu. Anak luar nikah berhak mendapat harta pusaka daripada ibu yang melahirkannya sebagaimana anak-anak ibu itu yang lain. Ibubapa atau waris sebelah ibu turut bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak itu, jika si ibu tidak berkemampuan untuk berbuat demikian. 

Menjawab persoalan yang diajukan:

1) Anak luar nikah juga perlu dijaga dan dipelihari sebagaimana anak-anak yang lain. Oleh itu, kami berpandangan bahawa sewajarnya puan terus menerima adik perempuan suami beserta anaknya lebih-lebih lagi suami puan mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya. Selain itu, dia juga tidak melakukan perkara yang memudaratkan pihak puan dan keluarga seperti mencuri, mengeluarkan kata-kata kesat dan sebagainya.

2) Anak tersebut perlu dijaga sebagaimana anak-anak yang lain. Selain itu, menjadi tanggungjawab seorang abang menjaga adik perempuannya yang kurang berkemampuan dari sudut harta. Malah, nasihat agar menyerahkan anak luar nikah tersebut kepada pihak luar tidak semestinya perlu diikuti oleh adik perempuan yang merupakan ibu kepada anak tersebut. Pelbagai pertimbangan perlu dilakukan sebelum melakukan keputusan yang besar tersebut.

3) Tidak sewajarnya seseorang menghalang hubungan kekeluargaan walaupun anak tersebut adalah anak luar nikah. Hal ini kerana anak luar nikah disabitkan nasab kepada ibunya beserta keluarga sebelah ibu.

4) Seperti jawapan bagi soalan 1 & 2, adalah tidak wajar bagi suami dan keluarga mengabaikan adik perempuan dan anak tersebut lebih-lebih lagi sekiranya adik perempuan tersebut telah insaf dan bertaubat kepada Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 81

message user image