BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Adakah salah jika lukis kartun bergambar manusia untuk tujuan perhiasan (mural di dinding) sebagai peringatan bahawa wajah2 tersebut inspirasi tubuhnya perniagaan di kedai. 


message user image

Jawapan  

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Mas’ud RA, Nabi SAW bersabda:

 إنَّ أشدَّ النّاسِ عذابًا عندَ اللَّهِ المصَوِّرونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang paling berat seksanya di sisi Allah SWT ialah para pelukis. (Riwayat al-Bukhari)

Berkaitan isu ini ada 2 perkara yang perlu diperhalusi:

1. Lukisan yang berada dalam kategori makhluk tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, pepohon, lautan, kapal-kapal, gunung-ganang, matahari, bulan, bintang-bintang dan seumpamanya, maka tidak dilarang atau menjadi suatu kesalahan untuk seseorang melukis, menyimpan atau mempamerkannya. Bahkan, perkara ini tiada perselisihan padanya.

2. Lukisan yang berada dalam kategori makhluk bernyawa seperti manusia dan binatang hukumnya adalah bergantung kepada tujuan lukisan itu dibuat. Sekiranya untuk tujuan pendidikan atau pengajaran adalah diharuskan. Bagi lukisan yang diharamkan adalah seperti lukisan yang boleh membawa kepada perilaku syirik kepada Allah SWT iaitu melukis dengan tujuan untuk mengagung atau memujanya, lukisan yang tidak menutup aurat atau lukisan lengkap tubuh badan dengan melukis seperti rupa dan tubuh badan yang sebenar seakan-akan cuba meniru ciptaan Allah SWT. Namun jika hanya sebahagian daripada anggota badan, maka diharuskan pada pandangan sebahagian ulamak.

Merujuk kepada solan yang diajukan, melukis gambar wajah atau rupa seseorang dalam bentuk karton, bukan dalam bentuk lukisan sebenar, tidak menjadi kesalahan dengan tujuan kenang kenangan dan bukan tujuan mengagung atau memujanya.

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 76

message user image