Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Dalam sesebuah drama atau filem melayu, ada adegan bersentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, seperti babak anak dan ibu. Berpelukkan, tetapi mereka bukan mahram. Adakah rezeki yang mereka dapat dari hasil lakonan tersebut 'HALAL' dan boleh digunakan untuk perbelanjaan ibadah haji?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diberikan,
bilamana pekerjaan yang dilakukannya itu mengandungi perbuatan yang syubhah, maka hasil kerjanya juga menjadi syubhah. Pendapatan yang diperolehi daripada hasil yang syubhah hendaklah diasingkan. Hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu’man Ibnu Bashir RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas. Bagaimanapun di antara keduanya terdapat perkara yang tidak jelas (syubhah), yang mana ramai orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang memelihara dirinya dari perkara syubhah, maka dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. (Riwayat al-Bukhari). Menggunakan wang yang syubhah untuk menunaikan ibadah haji adalah berdosa. Adapun, ibadah hajinya adalah sah sekiranya ia memenuhi rukun dan syarat-syarat haji. Namun, terdapat pandangan para ulama’ yang tidak membenarkan ibadah haji menggunakan duit yang haram.
Sekian, terima kasih.