BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan, saya ingin bertanya berkenaan hukum memakan makanan yang dipesan melalui Foodpanda yang tersalah hantar. Perkara ini selalu berlaku.

Begini kesnya. Makanan yang dipesan melalui Foodpanda tertukar dengan makanan pelanggan lain. Harga makanan lebih kurang sama saja, tapi jenis makanan salah, contohnya saya dapat mee goreng sedangkan saya pesan kwayteow.

Nama pelanggan yang sebenar ada pada resit dalam bungkusan, tapi no tel tak ada. Nak bagi balik kedai, sudah larut malam, perut sudah lapar. Bila saya hubungi khidmat pelanggan Foodpanda, katanya dia tak boleh suruh rider ambil balik pesanan yang salah. 

Saya halalkan sajalah orang yang dapat kwayteow saya tu. Tapi bolehkah saya makan mee goreng yang tersalah hantar tersebut? Nak buang, membazir. Nak minta izin, tak tau mana nak cari orangnya.

Wassalam.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, berdasarkan kepada terma dan syarat yang kami dapati di dalam laman sesawang rasmi syarikat Foodpanda seperti yang dilampirkan, kami dapati bahawa pelanggan diberi hak untuk mendapatkan refund daripada pihak syarikat Foodpanda. Sewajarnya pelanggan memastikan terlebih dahulu makanan yang disampaikan sama sebagaimana pesanan. Seandainya berbeza, maka serahkan dan maklumkan kepada penghantar lalu mohonlah refund

Walau bagaimanapun, atas sebab tertentu, jika penghantar telah pun pergi dan sukar baginya untuk datang kembali bila dihubungi, dan dikhuatiri makanan akan rosak atau basi, maka diharuskan kepada pelanggan untuk memakannya dengan niat bersedia untuk membayar harga makanan itu jika diminta oleh pemilik makanan tersebut. Ini adalah kerana Islam melarang daripada pembaziran.

Untuk maklumat lanjut, tuan boleh merujuk laman web https://www.foodpanda.my/ms/contents/terms-and-conditions.htm. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 236

message user image