Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum tuan, saya ada sedikit kekeliruan mengenai jika seorang lelaki melafazkan sudikah awak menjadi teman hidup atau seumpamanya adakah di kira sudah bertunang mengikut agama islam?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Secara umumnya apabila seseorang lelaki melafazkan kata-kata "sudikah awak menjadi teman hidup" kepada perempuan boleh dianggap sebagai meminang iaitu menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan wanita tersebut. Ucapan tersebut adalah haram sekiranya diucapkan kepada perempuan yang masih menjadi isteri seseorang, tunang orang atau perempuan yang masih di dalam tempoh iddah talak raj'i.
Walaupun perempuan tersebut mengatakan persetujuan untuk berkahwin, ia belum lagi dianggap telah bertunang. Ia hanyalah janji biasa sahaja. Ini adalah kerana, dalam mazhab Syafi'i, perempuan tidak boleh menikahkan dirinya sendiri melainkan dengan seorang wali. Oleh itu, hanya sekiranya wali perempuan tersebut menerima lamaran atau pinangan seseorang lelaki terhadap anak perempuannya, dengan syarat-syarat tertentu, maka ketika itu pertunangan dianggap telah berlaku.
والله أعلم بالصواب
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 78