BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya, apakah hukum memelihara leopard gecko (Eublepharis Macularius)?
Meskipun fizikalnya kelihatan seperti cicak namun secara sifatnya adalah berbeza kerana tidak boleh melekat di dinding, jinak, tidak memudharatkan bahkan tidak berbunyi melainkan terancam. Berlainan dengan cicak tokek (Gekko Gecko) yang sifatnya memang hampir dengan cicak rumah. Selain itu, bukankah sifatnya lebih hampir kepada dhab berbanding cicak rumah kerana berasal dari padang pasir?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Menurut ajaran Islam, menjaga haiwan termasuk reptilia seperti leopard gecko daripada sejenis haiwan liar adalah dibenarkan selagi perlakuan terhadap haiwan itu dilakukan dengan baik dan penuh tanggungjawab. Tiada hadis yang secara khusus menyebut tentang pemeliharaan reptilia seperti leopard gecko. Walau bagaimanapun, terdapat banyak hadis yang menekankan kepentingan memperlakukan haiwan dengan baik dan larangan menyeksa mereka. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

بَيْنَا رَجُلٌ يَمْشِي، ‌فَاشْتَدَّ ‌عَلَيْهِ ‌الْعَطَشُ، فَنَزَلَ بِئْرًا فَشَرِبَ مِنْهَا، ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا هُوَ بِكَلْبٍ يَلْهَثُ، يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ، فَقَالَ: لَقَدْ بَلَغَ هَذَا مِثْلُ الَّذِي بَلَغَ بِي، فَمَلَأَ خُفَّهُ ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ، ثُمَّ رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَإِنَّ لَنَا فِي الْبَهَائِمِ أَجْرًا؟ قَالَ: فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

Maksudnya: Terdapat seorang lelaki sedang berjalan lalu dia berasa haus maka dia turun ke sebuah perigi dan minum daripadanya. Apabila dia keluar, terdapat seekor anjing yang sedang mengeluarkan lidahnya lalu menjilat tanah kerana kehausan. Maka dia berkata: Anjing ini kehausan sepertimana aku alami sebentar tadi. Disebabkan itu, dia memenuhkan kasutnya dengan air dan dia memegang kasutnya (yang diisi dengan air) dengan mulutnya. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Dengan itu, dia bersyukur kepada Allah SWT maka Allah SWT mengampuninya”. Mereka (para Sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, adakah bagi kami ganjaran jika kami berlaku baik pada haiwan?”. Rasulullah SAW bersabda: “(Berbuat baik) Setiap yang bernyawa itu akan diberi pahala”. (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa Islam mendorong kita untuk merawat haiwan dengan baik dan memberikan perlindungan kepada mereka. Oleh itu, sekiranya seseorang ingin memelihara haiwan perlu dipastikan bahawa haiwan tersebut hendaklah dijaga kebajikannya sama ada makan minum, kesihatan dan keselesaan tempat tinggal. Selain itu juga, perlu dipastikan haiwan yang dipelihara itu tidak kotor, menganggu atau membahayakan orang lain. Ini kerana, implikasi daripada kesan kotor haiwan tersebut akan menjejaskan kepada kesempurnaan sesuatu ibadat kepada Allah SWT.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 198

message user image