BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Adakah kepala kambing termasuk dalam bahagian untuk diaqiqahkan? Saya ingin membeli kambing siap sembelih untuk aqiqah, namun penjual menyatakan kepala kambing tidak disertakan untuk harga tersebut, melainkan dengan caj tambahan. Alasannya ialah kerana kepala perlu dibersihkan dan ini memakan masa. Penjual telah memaklumkan saya sebelum saya membuat pembelian, namun kemudian saya terfikir tentang perkara ini. Sahkah aqiqah anak saya jika kepala kambing tidak disekalikan? Adakah dibenarkan untuk penjual mengenakan bayaran tambahan ini untuk kepala kambing?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Apabila seseorang membeli seekor kambing dengan bayaran upah sembelih, maka keseluruhan kambing tersebut adalah miliknya termasuk kepala, kulit dan bahagian-bahagian lain. Caj tambahan yang disebut oleh penjual tersebut adalah merupakan upah memproses kepala kambing tersebut dan penjual berhak mengenakan caj tambahan atas tugas tambahan yang dilakukan. Namun, sekiranya pembeli ingin mengambil kepala kambing itu tanpa diproses oleh penjual, maka penjual wajib memberikan kepada pembeli kerana kepala merupakan sebahagian daripada kambing yang merupakan milik pembeli.

Walau bagaimanapun, perkara ini tertakluk kepada akad yang dilakukan antara pembeli dan penjual bagi menentukan apakah perkara yang termasuk dalam harga yang dibayar oleh pembeli.

Aqiqah tersebut tetap sah walaupun kepala tidak diambil oleh pembeli sekiranya penyembelihan telah berlaku dalam keadaan haiwan yang disembelih itu cukup syarat-syaratnya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 53

message user image