BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamu alaikum,

Saya ada kekeliruan dalam persoalan munakahat.

Adakah perceraian termasuk dalam sunnah Nabi Muhammad SAW?

 

Saya terbaca dalam sirah nabi, Rasulullah pernah menceraikan isterinya bernama Hafsah RA.

Manakala sunnah bermaksud sesuatu yang bersumberkan daripada Nabi Muhammad SAW dalam bentuk ucapan, perbuatan, sifat serta akhlak yang diberitakan oleh sahabat baginda.

 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Sunnah Nabi SAW dan hukum sunat adalah dua istilah yang berbeza. 

2. Sunnah Nabi SAW adalah sumber hukum atau dalil syarak. Sunnah Nabi SAW didefinisikan sebagai sesuatu yang disandarkan atau bersumber daripada Nabi Muhammad SAW dalam bentuk ucapan, perbuatan atau taqrirnya (pengesahan) termasuk sifat serta akhlak Baginda SAW.  Sumber hukum atau dalil syarak yang lain seperti al-Quran, qiyas dan ijma'.

3. Sunat pula adalah hukum syarak terhadap sesuatu perkara, seperti wajib, haram, makruh dan harus. Sesuatu perkara yang sama mungkin berbeza hukum dalam keadaan atau situasi yang berbeza. Berkahwin umpamanya boleh menjadi wajib bagi mereka yang mampu dan akan terjebak di dalam kemaksiatan sekiranya tidak berkahwin. Berkahwin boleh menjadi sunat sekiranya berkemampuan dan tidak takut terjebak di dalam kemaksiatan. Berkahwin boleh menjadi haram sekiranya tidak berkemampuan sama ada dari segi zahir dan batin serta diyakini akan menzalimi pihak isteri.   

Berhubung tindakan Rasulullah SAW menceraikan isterinya Saidatina Hafsah RA, sesuatu pengajaran atau hukum yang boleh diambil adalah penceraian disyariatkan atau dibenarkan di dalam Islam. Di samping itu, apa yang perlu kita fahami dan yakini bahawa tindakan Baginda SAW itu mempunyai sebab serta alasan tersendiri. Baginda SAW kemudiannya telah merujuk kembali Saidatina Hafsah RA. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 85

message user image