Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: 1) Kadangkala saya mengalami kesukaran untuk memulakan niat ketika solat. Saya niat seperti ini, "Saja aku solat fardhu isyak 4 rakaat kerana Allah". Persoalan saya: 1) Adakah niat ini dikira? 2) Adakah boleh niat kerana Allah & tidak perlu penuh iaitu kerana Allah Taala? 3) Bolehkah saya niat sebegini, "Kerana Allah, aku solat fardhu isyak 4 rakaat"? Saya di universiti ada ramai kawan Cina. Kadangkala saya perasan mereka menggunakan perkataan hukum seperti haram, halal & lain-lain. Adakah saya perlu menegur mereka supaya tidak menyalahgunakannya melainkan mereka menggunakannya di situasi yang betul?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara berkenaan dengan niat solat, sebaiknya hendaklah ditetapkan niat itu di dalam hati dengan yakin. Bermakna, apa yang dilafazkan di mulut adalah sama dalam hati, contohnya : أُصَلِّي فَرْضَ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى Maksudnya : “Sahaja aku solat fardhu subuh dua rakaat tunai kerana Allah Taala” Boleh juga lafaz niat tersebut kerana Allah sahaja. Sebaiknya ikut sebagaimana yang Islam ajarkan cara berniat untuk solat dengan betul seperti lafaz di atas. Tidak perlu, perkataan halal, haram, dosa, pahala dan sebagainya boleh disebut oleh orang bukan Islam. Cumanya, mereka perlu diberi penerangan bahawa halal dan haram itu bagaimana, dosa dan pahala itu bagaimana, agar mereka faham tentang Islam, dan Islam itu boleh dipelajari oleh mereka. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.