BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..saya sudah berkahwin hampir 11 tahun .. selama berkahwin suami saya tidak pernah bertanya kepada saya untuk halalkan nafkah yang tidak sempurna dari dia.. suami saya tidak mampu utk beri set pakaian  kepada saya ..kebanyakan saya terima pakaian dari pemberian orang . sekarang suami dalam perancangan utk berkahwin lain .. soalan saya apakah hukum suami berkahwin tanpa izin saya? ..dan boleh ke saya tuntut nafkah yang tidak sempurna sebagai hutang sekiranya saya tidak halalkan? dan apakah hukum suami menceraikan isteri dan berkahwin dgn orang lain tetapi hutang nafkah tidak dibayar?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Antara tanggungjawab seorang suami adalah memberikan nafkah zahir dan batin kepada isterinya. Antara nafkah zahir yang wajib diberikan adalah tempat tinggal, makanan dan pakaian. Terdapat kadar minimum yang wajib disediakan oleh suami bagi setiap perkara yang disebutkan itu daripada tempat tinggal, makanan dan pakaian. Perkara itu perlu dirujuk kepada pihak Mahkamah Syariah bagi menentukan kadar wajib yang mesti diberikan oleh suami. Oleh itu, sekiranya terdapat kekurangan dalam pemberian nafkah, isteri berhak menuntut nafkah tersebut daripada pihak suami sama ada secara terus kepada suami atau melalui perintah mahkamah.

Adapun sekiranya suami ingin berkahwin lain dalam keadaan dia tidak mampu menyediakan nafkah dan tanggungjawab lain, maka tindakan berkahwin tersebut merupakan suatu dosa kerana suami tidak mampu menyediakan kewajipannya dan dosa itu ditanggung oleh pihak suami. Sebagai seorang isteri, wajar bagi puan untuk menasihati suami agar menilai kembali tindakannya yang ingin berkahwin lain.

Berdasarkan kepada peraturan perkahwinan poligami semasa, pihak Mahkamah Syariah ketika membenarkan sebarang permohonan perkahwinan poligami boleh mendapatkan pandangan daripada isteri berhubung permohonan tersebut. Walau bagaimanapun, keengganan atau persetujuan isteri tidak mengikat keputusan Mahkamah. Mahkamah akan menilai kemampuan suami serta kewajarannya untuk membenarkan berpoligami. 

Hukum seorang suami menceraikan isteri tanpa sebab yang wajar pada pandangan sebahagian ulamak adalah haram dan berdosa.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 71

message user image