BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

SAYA ADA 3 SOALAN TENTANG JUAL BELI ACCOUNT GAME

 

1. Apakah hukum jual beli account game :

 Game nya pubg/mobile legends/ pes mobile . dalam Game tersebut ada cabutan spin untuk dapatkan sesuatu brg , Kbnykn account yg dijual mesti dh pernah spin . spin tu pulak Kena guna duit betul dan dia mengikut nasib baik atau buruk , kalu baik mungkin dpt barang Tu , klu nasib buruk sebaliknya lah . Game tersebut juga ada perjanjian dibuat policy& privacy game dimana dalam perjanjian tersebut Pemain tak boleh menjual Account . jadi boleh ke kalau nk jual jugak account ni walaupun ada benda yg haram dibuat.

 

2. HASIL DUIT JUAL BELI ACCOUNT GAME :

kalau jual beli acc game ni haram , jadi mcm mana hasil yg sebelum ni , adakah jadi duit haram ke cmne? apa perlu buat dgn duit haram yang dah digunakan, adakah perlu ganti semula duit haram dan apa perlu buat dengan baki duit haram yg belum digunakan. 

 

3. HASIL & BAKI DUIT JUAL BELI ACC GAME:

Total hasil  jual beli ada rm350k dari tahun 2020-2024 . Yg dah digunakan 250k dan baki hanya 100k.  Kalau hukum nya duit haram boleh ke saya guna duit 100k haram ni untuk Buat bisnes baru yg halal . atau perlu digunakan ke tempat lain? tlg sayaa

 

 


message user image

Jawapan  

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Merujuk kepada soalan yang diajukan: 

SOALAN 1: HUKUM JUAL BELI ACCOUNT GAME:

Secara umum permainan atau game secara online seperti pubg/mobile legends/ pes mobile dan sebagainya adalah diharuskan. Walau bagaimanapun sekiranya di dalam permainan tersebut terdapat unsur yang diharamkan dari segi syarak seperti perjudian, gambar lucah yang menggairahkan dan sebagainya, maka permainan tersebut menjadi haram. Berdasarkan kenyataan yang diberikan terdapat aktiviti cabutan spin dengan bayaran tertentu, ia dianggap sebagai judi yang menjadikan permainan tersebut menjadi haram. Seandainya permainan tersebut haram untuk dimainkan, maka menjual permainan tersebut, atau akaun tersebut adalah haram.   

Di samping itu juga, sekiranya terdapat perjanjian yang ditetapkan oleh pemilik permainan tersebut yang mensyaratkan tidak membenarkan penjualan akaun, maka penjualan akaun tersebuat dianggap salah dari segi undang-undang dan syarak. Ini adalah kerana seseorang itu terikat dengan syarat atau perjanjian yang dia persetujui, sama ada permainan tersebut berbayar atau tidak berbayar, selama perjanjian tersebut tidak bercanggah dengan syarak, ia wajib dipatuhi. 

Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 1:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

SOALAN 2: HASIL DUIT JUAL BELI ACCOUNT GAME:

Berdasarkan ketetapan yang dinyatakan di atas, sesuatu permainan yang dianggap haram atau terdapat syarat tidak membenarkan penjualan akaun permainan tersebut, makan hasil jualan akaun permainan tersebut turut haram. Pada dasarnya sebarang harta atau wang haram tidak boleh digunakan untuk kepentingan diri sendiri dan perlu diserahkan kepada baitulmal untuk kegunaan umum.

Berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa; Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

Seandainya telah benar-benar bertaubat, maka sebarang penggunaan wang jualan tersebut adalah dimaafkan. Sekiranya dia seorang yang berkemampuan adalah disarankan untuk menggantikan jumlah wang yang telah digunakan atas dasar pilihan bukan kewajipan. Namun, baki daripada wang tersebut sekiranya ada hendaklah disucikan dengan cara yang dinyatakan seperti di atas.

SOALAN 3. HASIL & BAKI DUIT JUAL BELI ACCOUNT GAME:

Secara umum berdasarkan ketetapan yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, wang tersebut tidak boleh digunakan untuk kepentingan sendiri seperti digunakan untuk membuat suatu perniagaan, walaupun perniagaan itu perniagaan yang halal. 

Walau bagaimanapun, seandainya harta yang dimiliki hanyalah wang haram tersebut, maka diharuskan untuk menggunakannya sekadar hajat kehidupannya dengan syarat dia perlu berusaha untuk mendapatkan pekerjaan bagi memperolehi sumber rezeki yang halal. Apabila telah memperolehi pendapatan halal yang cukup untuk menyara kehidupannya, maka wang itu tidak boleh digunakan lagi dan perlu diserahkan kepada baitulmal.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 268

message user image