BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamu'alaikum

Saya ada satu pertanyaan

Saya mendapat duit arwah ibu saya yang mencarum dalam insurans konvennsional.

Bolehkah saya menggunakan duit tersebut untuk perkara-perkara seperti berikut:

  1. Menyumbang karpet untuk surau atau masjid.
  2. Membaiki lampu, kipas, air cond, tempat wuduk, bumbung, tingkap, pintu dan lain-lain untuk surau, masjid, balai raya dan lain-lain?
  3. Menyumbang kipas, lampu dan lain-lain untuk dewan orang ramai, dewan sekolah dan bilik darjah?
  4. Menyumbang peralatan pendidikan ke sekolah seperti bola, kayu hoki, dan buku tulis dan lain-lain ?
  5. Memperbaiki jalan, bumbung, buat tempat tunggu rehat berlampu di sekolah dan di lain-lain tempt?
  6. Dan menyumbang makanan dan minuman serta hadiah untuk orang ramai, guru-guru, murid-murid dananak-anak yatim dan miskin.

Saya bertanya kerana saya musykil wang jenis ini boleh digunakan untuk kemudahan awam. Di atas diperincikan apa yang saya terlintas untuk buat.

Saya berterima kasih dan amat menghargai atas jawapan yang akan ustaz berikan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Berdasarkan kepada persoalan tuan, sememangnya keuntungan daripada mencarum insuran konvensional adalah haram digunakan bagi tujuan peribadi dan ia tergolong dalam wang tidak patuh syariah. Berkenaan hal ini  keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2009 pada 18hb. Mac 2009 yang menyatakan:

i. Wang tidak patuh syariah yang diperolehi boleh dijadikan sumber baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun baitulmal.

ii. Penggunaan wang tidak patuh syariah harus untuk kegunaan menjalankan operasi perjalanan kerja di MAIS seperti pembinaan, penyelenggaraan bangunan, emolumen, pendidikan, pertanian, penyelidikan, perubatan, kemudahan asas seperti pembinaan dewan, tandas, jambatan dan lain-lain untuk kegunaan umum.

Ini diperkuatkan lagi dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu:

“Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

i. Diserahkan kepada BaitulMal untuk maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

ii. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

iii. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada BaitulMal ”.

kesimpulannya, adalah lebih baik wang tidak patuh syariah itu diserahkan kepada BaitulMal dan biarlah mereka yang mengagihkan sesuai dengan ketetapan syarak dan lebih mustahak wang tersebut dipenuhi bagi maslahah ummah atau kepentingan ummah.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 61

message user image