BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ada beberapa perkara yang ingin saya tanyakan kepada mufti. 

1. Apakah hukum mengumpul sumbangan infaq orang ramai untuk agihan makanan kepada masjid atau rumah anak yatim. Contohnya ada yang buat macam ni;

1A. Pemilik kedai mencari dana dari orang ramai untuk kutipan infaq. Makanan akan diagihkan di sekian-sekian tempat. Pemilik kedai mengambil upah memasak dari kutipan tersebut. Maksudnya bukan semua yang di infaqkan dari orang ramai sampai kepada tujuan.  Apakah hukumnya?

1B. Satu individu, menempah 50 pax makanan di kedai makan untuk di agihkan kepada orang ramai pada hari Jumaat. Pemilik kedai memberikan harga dan persetujuan tercapai. Dari harga tersebut pemilik kedai juga mengambil upah. Apakah hukumnya?

2. Apakah hubungan antara mak dan bapa saudara kepada anak yang lahir diluar nikah. Contoh:

2A. Kakak kepada si polan melahirkan anak lelaki/perempuan luar nikah. Apakah adik perempuan/lelaki kepada si polan boleh menyentuh anak lelaki/perempuan kakaknya seperti anak buah lelaki/perempuannya yang lain yang lahir dari hubungan yang sah di sisi Islam?

2B. Kemudian, jika kakaknya melahirkan anak perempuan/lelaki di luar nikah, apakah hukum antara suami/isteri kepada adiknya dengan anak perempuan/lelaki luar nikah kakaknya?

Sekian, terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

Soalan 1:

Sebelum saya menjawab soalan yang diajukan, perlu kita fahami bahawa sumbangan atau infaq yang diberikan mestilah disalurkan berdasarkan niat penyumbang. Antara wakil (pengumpul sumbangan) dengan penyumbang perlu ada kesepakatan dan persetujuan yang jelas tentang proses sumbangan termasuklah jumlah agihan, sasaran agihan dan upah yang diambil. 

1A. Harus bagi pemilik kedai mengambil upah dalam penyediaan makanan yang akan disumbangkan termasuk perkhidmatan pembelian barang-barang masakan dan upah pekerja bagi penyediaan makanan tersebut. Namun, pemilik kedai tersebut hendaklah menjelaskan segala maklumat berkaitan proses sumbangan kepada para penyumbang dan upah yang akan diambil. Ini bertujuan agar para penyumbang bersetuju dengan proses sumbangan tersebut termasuklah upah yang diambil daripada sumbangan tersebut. Pemilik kedai tidak boleh mengambil kesempatan daripada program infaq yang dijalankannya sendiri dengan cara mengambil keuntungan pada jalan yang tidak sepatutnya. Haram bagi pemilik kedai mengambil upah selain daripada harga yang digunakan bagi penyediaan dan pengagihan bahan makanan tersebut walaupun sedikit daripada sumbangan tanpa persetujuan penyumbang. Ini bertepatan seperti yang difatwakan oleh Darul Ifta' Jordan seperti berikut:

الأصل في صرف التبرعات أن يكون حسب نية المتبرع وشرطه؛ فالمتبرع بمنزلة الواقف، والأصل التزام شرط الواقف؛ فلا يُصرف المال إلا حيث أراد، فإذا أراد أن يأخذ من الصدقات فعليه أن يستأذن المتبرعين بذلك، فإن لم يفعل فقد خان الأمانة

Maksudnya: Asal pada pengagihan sumbangan adalah berdasarkan niat dan syarat-syarat penyumbang. Penyumbang berada pada kedudukan pewakaf. Maka asalnya terkait dengan syarat pewakaf. Maka tidak diagihkan harta sumbangan tersebut melainkan mengikut kepada kehendak penyumbang. Jika wakil ingin sejumlah harta daripada sumbangan tersebut maka perlulah dia meminta izin para penyumbang terlebih dahulu. Jika dia tidak melakukan sedemikian maka dia telah khianati amanah.

1B. Harus bagi pemilik kedai menjual makanan dengan mengambil keuntungan terhadap barang jualannya yang dibeli oleh seorang individu yang mana barang tersebut akan disumbangkan kepada mana-mana pihak. Pemilik kedai tersebut tiada sebarang kaitan terhadap program sumbangan tersebut. Pemilik kedai hanyalah penjual makanan biasa yang menjual dengan kadar keuntungan yang berpatutan pada harga yang dipersetujui bersama antara penjual dan pembeli. 

Soalan 2:

Bagi isu yang kedua, perlu kita ketahui anak luar nikah adalah dikira anak tak sah taraf. Walau bagaimanapun, anak luar nikah itu sabit nasabnya kepada ibu yang melahirkannya. Ini bermakna dia adalah mahram muabbad (kekal) kepada  ibunya, keluarga sebelah ibunya (adik beradik ibu serta pakcik makcik kepada ibu) dan adik beradik seibu. Mahram muabbad dengan maksud tidak boleh berkahwin dengannya dan tidak membatalkan wuduk jika bersentuhan serta berhak mendapat harta pusaka seperti anak yang sah. Adapun anak tak sah taraf dengan bapa asalnya (bapa biologi) adalah bukan mahram.

2A. Anak tak sah taraf kepada kakak adalah mahram kepada adik beradik kakak sama seperti anak sah taraf.

2B. Hubungan antara anak buah perempuan contohnya (sama ada anak sah taraf atau tidak sah taraf), hubungannya dengan suami kepada makciknya adalah mahram muaqqat (sementara), iaitu mereka tidak boleh berkahwin selagi mana suami makcik tidak bercerai dengan makcik anak tersebut. Hubungan antara mereka adalah seperti ajnabi, iaitu wajib menutup aurat, haram bersalaman dan batal wuduk apabila bersentuhan.  

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 159

message user image