BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan/puan, saya ingin bertanya beberapa soalan berkenaan talak bagi mendapatkan kepastian.

1. Saya mempunyai masalah dengan isteri saya sebelum ini. Ketika kami bergaduh saya ada meminta supaya isteri saya mengemas semua bajunya dan keluar daripada rumah. Tetapi saya tiada niat untuk menghalau dia atas niat untuk berpisah. Soalan saya adakah situasi berkenaan boleh jatuh talak ?

 

2. Selepas isteri saya mengemas pakaian, isteri saya ingin keluar daripada rumah, saya cuba menghalangnya dan dalam masa yang sama saya mengatakan kepada dia "Kalau kau keluar daripada rumah jatuh talak satu" (saya bagi tahu macam tu sebab saya nak halang dia keluar daripada pada rumah malam tu dan niat saya bukan dia tak boleh keluar langsung daripada rumah). Semasa tu isteri saya akur dan dia tidak keluar rumah pada malam tu dan esok saya membenarkannya pergi bekerja seperti biasa. Soalan saya adakah talak takliq itu terpakai sepanjang masa atau ia akan terbatal selepas keesokkan harinya?

 

3 Dalam masa yang sama juga saya ada kata pada isteri "kalau "kau tak patahkan sim kad tu jatuh talak satu" selang beberapa minit selepas itu saya telah meminta isteri saya logout Whatsapp dan delete akaun facebooknya. Isteri saya juga akur dengan permintaan saya, dia patahkan simkad pada malam tu. Cuma malam tu, isteri saya tak logout aplikasi Whatsapp dia dan akaun Facebook dia tak delete. Saya jadi ragu -ragu pada keesokkan harinya adakah saya cakap malam kejadian sekiranya tak delete Facebook dan logout Whatsapnya jatuh talak satu. Kemudian saya cuba untuk dapatkan kepastian pada isteri, saya tanya semula isteri saya adakah saya berkata sekiranya tidak logout Whatsapp dan delete akaun Facebooknya jatuh talak satu. Isteri saya sahkan saya tak berkata begitu. Isteri saya kata, beliau berani tak delete akaun Facebooknya dengan logout whatsaap sebab dia tidak ada mendengar saya cakap macam tu. Soalan saya adakah situasi ini boleh jatuh talak?

 

Untuk makluman saya dan isteri sudah berbaik semula. Saya dan isteri bertanya soalan ini pada ustaz sebab kami mahu kepastian dan takut akan jadi haram sekirannya kami tinggal dan tidur bersama.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

1. Lafaz tersebut merupakan lafaz kinayah yang memerlukan niat dan tidak jatuh talak kerana suami tidak berniat menceraikan isterinya. 

2. Lafaz taklik yang diucapkan itu adalah jelas. Oleh itu apabila isteri keluar (melanggar taklik) maka, jatuhlah talak namun dalam situasi ini taklik tersebut tidak jatuh kerana isteri mematuhi arahan suami. Malahan keesokan harinya suami sendiri telah mengizinkan isteri keluar bekerja seperti biasa. 

Pada asasnya taklik itu bersifat berterusan dan tidak boleh ditarik balik atau dibatalkan. Walau bagaimanapun taklik boleh terikat dengan masa tertentu dengan sebab lafaz yang diucapkan atau niat suami.

3. Tidak jatuh talak kerana lafaz taklik tersebut pada arahan mematahkan simkad dan isteri telah mematuhi arahan tersebut. 

Walau bagaimanapun, jika masih timbul perasaan ragu-ragu, adalah disarankan untuk terus merujuk ke Bahagian Undang-Undang, Jabatan Agama Islam Negeri.

Realiti sesebuah kehidupan berumahtangga pasti ada badai dan geloranya, namun demikian pasangan suami isteri seharusnya berusaha sedaya upaya memelihara mahligai yang dibina dengan sebaiknya. Suami juga perlu sentiasa berhati-hati dengan setiap ucapan yang dilontarkan kepada isteri serta tidak bermudah-mudahan melafazkan ta'lik atau talak. Nabi SAW  menegas di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). (Riwayat Abu Daud) 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 175

message user image