Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
saya ingin bertanya berkenaan hukum menggunakan duit masjid/surau bagi digunakan untuk jamuan Hari Raya atau jamuan makan beramai2 bersamaa penduduk setempat adakah dibolehkan. ada seoarang ustaz memberi tahu tidak boleh kerana duit masjid/surau hanya boleh digunakan untuk maslahah masjid/surau sahaja melainkan diwujudkan 1 tabung khas untuk majlis makan2 atau seumpanya..mohon pencerahan pihak berwajib.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Memakmurkan masjid-masjid dalam konteks semasa diaplikasi melalui penganjuran aktiviti keagamaan yang boleh memberi manfaat kepada anak kariah seperti kuliah, ceramah, aktiviti kebajikan, dan kemasyarakatan dan seumpamanya. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al Taubah:18
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ ١٨
Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.
Dana atau Tabung Khas yang dibuat kutipan oleh pihak masjid atau surau hanya boleh digunakan bagi tujuan yang ditentukan sahaja. Adapun bagi Dana Umum yang diterima daripada penyumbang, ia merupakan amanah yang diberikan kepada pihak pengurusan untuk membelanjakan dana bagi pengimarahan masjid, maslahah anak kariah dan para jamaah. Segala bentuk program yang mendekatkan anak kariah dengan masjid dan mengeratkan ukhuwwah adalah perkara baik yang digalakkan termasuk jamuan hari raya dan sebagainya. Firman Allah SWT dama surah al-Haj ayat ke 77:
وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Lakukanlah kebaikan mudah mudahan kamu akan mencapai kejayaan.
Justeru, bagi mencapai matlamat tersebut maka pihak masjid diharuskan untuk menggunakan wang tabung masjid dalam jumlah yang munasabah kerana ia tidak terhad hanya kepada pembangunan fizikal masjid semata-mata bahkan harus juga digunakan untuk pengimarahan masjid dan kemaslahatan anak kariah serta umat Islam secara keseluruhannya. Sekiranya berlebihan, bolehlah dimanfaatkan untuk kebajikan anak-anak kariah yang miskin, di dalam kesusahan, ditimpa musibah dan sebagainya.
Dalam menjelaskan perkara ini, pihak pengurusan masjid dan surau perlu kreatif dalam merancang program pengimarahan masjid sesuai dengan perubahan zaman dan keperluan semasa berpandukan kemampuan kewangan sedia ada dengan menjauhi segala bentuk pembaziran.
والله أعلم بالصواب
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 139