BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

assalamualaikum..saya ada sedikit kemusykilan

1. apa hukum jika saya menjadi agen untuk orang yang beli barang kemas & surat pajak orang lain? saya hanya perlu post iklan di laman sosial, jika ada orang yang ingin menjual, baru saya akan diberi upah oleh ketua tersebut.

2. jika surat pajak kedai cina berkaitan riba, yapiem ar-rahnu sendiri pun mempunyai riba..cuma jumlah tak sebanyak kedai cina.

3. jika orang yang kerja bank & menawarkan pelbagai jenis pinjaman, adalah gaji tu haram? kerana setahu saya mana2 pinjaman bank masih ada riba

mohon jasa baik tuan/puan dapat membalas pertanyaan saya..terima kasih


message user image

Jawapan  

   وعليكم السلام ورحمته الله وبركته

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Pada asasnya memberi perkhidmatan pengiklanan secara umum adalah diharuskan. Walau bagaimanapun, tertakluk kepada perkara yang diiklankan, seandainya perkara yang diiklankan adalah perkara yang diharuskan menurut syarak, maka perbuatan mengiklankan serta upah yang diperolehi juga adalah harus dan halal. Namun sekiranya perkara yang diiklankan adalah perkara yang dilarang menurut syarak, maka perbuatan mengiklankan serta upah yang diperolehi juga turut dilarang. 

Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ                                            

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

2. Tidak boleh menyamakan di antara skim surat pajak kedai Cina dengan skim pajak Yapiem ar-Rahnu. Ini kerana kerana akad yang digunakan oleh kedua-dua skim tersebut adalah berbeza.

3. Secara umum sekiranya sesebuah bank menawarkan pinjaman konvensional, maka bekerja di bank tersebut adalah dilarang dan pendapatan daripadanya adalah haram. Walau bagaimanapun terdapat perincian di dalam perkara tersebut. Sekiranya pekerjaan itu secara langsung berkaitan dengan riba seperti pegawai pemasaran, pegawai yang menyediakan dokumen, pegawai yang menguruskan pinjaman tersebut, maka pekerjaan tersebut adalah haram berdasarkan kepada hadis diriwayatkan daripada Jabir RA berkata:

«لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا، وَمُؤْكِلَهُ، وَكَاتِبَهُ، وَشَاهِدَيْهِ»، وَقَالَ: «هُمْ سَوَاءٌ»

Maksudnya: Rasulullah SAW telah melaknat orang yang memakan harta riba, orang yang menjadi wakilnya (orang yang memberi makan hasil riba), orang yang menuliskan dan dua orang yang saksinya, (dan selanjutnya), Nabi bersabda, mereka itu semua sama saja.

Bagi pekerjaan yang tidak terlibat secara langsung dengan riba, seperti tukang sapu, pegawai keselamatan dan sebagainya, maka terdapat syubhah di dalam pekerjaan tersebut kerana diangap sebagai membantu di dalam perkara yang dilarang oleh Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 2 seperti yang dinyatakan di atas.:

Sama ada perlu segera meninggalkan pekerjaan tersebut bergantung kepada keadaan serta situasi individu masing-masing. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 66

message user image