BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum...

Saya ada persoalan yg membelengu dikepala saya sehingga sekarang.

1)Situasi: Suami (A) berkahwin dengan isteri ke dua (B) tanpa pengetahuan sy. Pada borang pendaftaran perkawinan A telah menipu bujang.

Persoalan: Bagaimana seseorang mengaku bujang boleh dilepaskan kebenaran sedangkan didalam system terdapat maklumat isteri?

2)Situasi: Sijil nikah A dan B masih tidak dikeluarkan sehingga hari ini (5bulan dari tarikh nikah) kerana ingin mendapatkan kenyataan dari A.A takut hadir kerana masalah kewangan.

Selagi tidak selesaikan ini saya tiada hak sebagai isteri pertama dan cerai yang ingin dilakukan A kepada B jugak tidak dapat dilakukan.

Persoalan:Adakah patut saya menuntut hak saya sebagai isteri pertama?? Atau memaksa dulu A untuk beri kenyataan dan memohon poligami?

3)Persoalan: Jika A memohon poligami dan saya selaku isteri pertama tidak menerima, adakah saya boleh menuntut fasakh jika suami tidak mahu menceraikan saya?

4)Persoalan: Jika mahkamah menyatakan yg suami tidak layak berpoligami, adakah masih diteruskan pernikahan A dan B, or mereka dikenakan denda?

Sekian, Terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab persoalan yang diajukan:

1) Untuk makluman pihak puan, urusan permohonan pernikahan adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Agama Islam Daerah. Oleh yang demikian, sekiranya berlaku sebarang penipuan atau pemalsuan permohonan pernikahan maka pihak puan boleh merujuk ke Pejabat Agama Islam yang berkaitan bagi mendapatkan pengesahan dan makluman bagaimana permohonan suami puan itu diluluskan dengan statusnya bujang sedangkan dia masih beristeri.

2) Dalam situasi ini, puan sebagai isteri pertama mempunyai hak untuk mengadu kepada pihak yang berautoriti sama ada aduan dari sudut pemalsuan status yang suami puan lakukan atau sebarang tuntutan lain, sama ada kepada pihak berkuasa agama atau Mahkamah Syariah. Ini kerana puan mempunyai surat nikah yang sah daripada Pejabat Agama Islam Daerah di mana puan bernikah dahulu.

3. Di negeri Selangor, persetujuan atau keengganan isteri bukanlah suatu perkara yang mandatori kepada pihak Mahkamah Syariah untuk meluluskan atau menolak permohonan suami. Pandangan isteri diambil kira sebagai membantu pihak Mahkamah di dalam memahami keadaan atau situasi suami. Sebaliknya Mahkamah akan melihat kepada kemampuan serta kewajaran seseorang lelaki itu untuk berpoligami. Permohonan fasakh tidak dibenarkan dengan sebab poligami. Walau bagaimnapun fasakh dibenarkan dengan sebab tidak ada keadilan atau pengabaian tanggungjawab ketika mengamalkan poligami.

4. Seandainya pihak Mahkamah memutuskan bahawa lelaki itu tidak layak untuk berpoligami, namun dia tetap berpoligami, maka ia boleh dianggap telah melanggar perintah mahkamah dan boleh dikenakan tindakan. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 114

message user image