BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Suami saya tidak boleh bekerja yg memerlukan gerakan fizikal yg berat seperti mengangkat beban, pemandu lori atau pemandu bas kerana masalah kecederaan tulang belakang yg agak serius tetapi tidak lumpuh. Banyak peluang pekerjaan yang dicuba tetapi majikan tidak terima pekerja yang mempunyai keupayaan fizikal yg terhad. 3 minggu lepas ini suami saya mendapat pekerjaan sebagai pemungut hutang (debt collector) di sebuah syarikat pinjaman wang berlesen. Memandangkan pekerjaan lain tidak sesuai dengan keadaan kesihatannya, suami terpaksa bekerja di syarikat tersebut setelah 4 tahun tidak bekerja. Emosi suami semakin stabil kerana akhirnya mendapat pekerjaan untuk menanggung nafkah keluarga. Walau bagaimanapun, suami rasa serba salah kerana hukum pekerjaan yang melibatkan riba. Apa pandangan ustaz berkaitan hal suami saya ini? Bagaimana beliau hendak melunaskan hutang2nya sekiranya tidak bekerja 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, pada asasnya pekerjaan sebagai pemungut hutang adalah diharuskan. Walau bagaimanapun sekiranya pekerjaan tersebut melibatkan riba, maka ia adalah dilarang dan haram hukumnya. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Jabir RA beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ

Maksudnya: Rasulullah SAW telah melaknat orang yang memakan harta riba', orang yang menjadi wakilnya, orang yang menuliskannya dan dua orang yang saksinya, (dan selanjutnya), Nabi bersabda, mereka itu semua sama saja. (Riwayat Muslim)

Di samping itu juga, Islam melarang membantu atau menolong orang lain di dalam perkara dosa dan kemaksiatan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat ke-2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

Bersabarlah dan teruslah berusaha untuk mencari pekerjaan yang diyakini halal. Semoga Allah SWT memberkati setiap usaha yang dilakukan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 68

message user image