BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Seorang perempuan telah mengandung dan bernikah dengan pasangan zinanya sewaktu kandungannya berusia 3 bulan. Anak yang lahir telah dibintikan kepada suaminya seperti yang dibenarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Apakah bapa biologi ini boleh menjadi wali nikah kepada anak luar nikahnya?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya (lelaki yang menyebabkan anak itu lahir). Ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam fatwa Negeri Selangor bertarikh 17 Januari 2005 berkenaan Garis Panduan Mengenai Anak Tidak Sah Taraf Menurut Hukum Syarak bahawa sighah berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syarak ialah :

  1. Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara sainifik yang bertentangan dengan hukum syarak.

  2. Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu “Imkan ad-Dukhul” dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhat.

  3. Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari segi waktu “Imkan ad Dukhul” selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara’ bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak.

Walaupun Jabatan Pendaftaran Negara telah membenarkan anak tersebut berbintikan bapa biologinya, namun berdasarkan pengakuan pasangan itu bahawa anak tersebut adalah anak luar nikah atau tidak sah taraf maka, dari sudut hukum syarak anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya dan bapa biologi tersebut tidak boleh menjadi wali pernikahan anak tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 55

message user image