BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

saya ditawarkan untuk bekerja di syarikat BAT sebagai accountant. bila saya cek background, syarikat tersebut ialah syarikat terbesar tobacco di malaysia. adakah saya boleh bekerja di syarikat tersebut? mohon penjelasan


message user image

Jawapan  

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Umum mengetahui bahawa merokok  tidaklah  membunuh secara serta-merta, namun ianya tetap mudharat atau memudharatkan. Berdasarkan kajian, ianya (rokok itu) mengandungi berbagai-bagai racun yang membawa kepada kemudharatan. Islam menegah umatnya melakukan apa juga perkara yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan kerana gangguan terhadap kesihatan itu boleh menyebabkan seseorang menjadi lemah atau tidak mempu untuk menunaikan tanggungjawab agamanya, termasuk juga urusan-urusan keduniaannya sekali.

Berdasarkan kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada mac 1995, muzakarah telah memutuskan merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam. Begitu juga di Negeri Selangor, telah mewartakan fatwa hukum pengharaman rokok bertarikh 25hb Oktober 1995. Dalam menjelaskan perkara ini, kita wajib tahu bahawa setiap fatwa yang dikeluarkan mestilah berdasarkan ilmu dan bukti konkrit, bukan andaian semata-mata apatah lagi jika ianya melibatkan sesuatu hukum halal dan haram.

Adapun hukum terlibat dengan industri yang mellibatkan rokok, maka hukumnya juga haram berdasarkan dalil dan hujah berikut:

  1. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

1. Sebarang usaha ke arah penghasilan dan pewujudan perkara-perkara yang jelas keharamannya seperti penghasilan rokok dan arak, maka hukumnya adalah haram. Ini berdasarkan kaedah yang masyhur iaitu الإعانة على المحرم محرمة (Kerjasama dalam perkara haram, hukumnya haram) dan ما أدى إلى الحرام فهو حرام (Apa yang membawa kepada haram maka ianya haram).

2. Sabda Baginda SAW:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh memudaratkan orang lain.   (Sunan Ibn Majah)

3. Rokok merupakan antara punca pelbagai penyakit dan ia telah terbukti secara saintifik. Sebarang usaha penghasilan rokok merupakan usaha ke arah memudaratkan umat manusia secara keseluruhannya. Walaupun posisi puan adalah sebagai akauntan tetapi ia juga terlibat dengan aktiviti pembayaran dan sebagainya yang berkaitan dengan sumber utama pengharaman rokok iaitu tembakau. Sebaiknya dielakkan terlibat dengan pekerjaan berkaitan ini. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 58

message user image