BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Saya ingin bertanya mengenai status perkahwinan jika berada dalam situasi seperti berikut : 

Suami pernah bersumpah taklik, "jika saya tengok lucah, maka akan jatuh talak". Dan tidak lama kemudian, kami memang bercerai di atas sebab lain dan bukan disebabkan sumpah taklik tersebut. Kami telah pun rujuk semula. Jadi adakah sumpah taklik tersebut masih sah diguna pakai selepas kami rujuk?

Terima Kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan:

Lafaz yang digunakan adalah "jika saya tengok lucah, maka akan jatuh talak". Lafaz ini merupakan lafaz taklik talak secara sorih yang boleh membawa kepada kepada jatuh talak jika taklik tersebut berlaku.

Berdasarkan kenyataan yang puan berikan, bahawa telah berlaku perceraian secara talak raj'i antara puan dan suami, lalu suami puan telah rujuk kembali. Dalam situasi begini, taklik talak yang diucapkan sebelum ini tidak terbatal dan ia masih berkuatkuasa. Ini adalah kerana talak raj'i talak memutuskan hubungan suami isteri secara total, bahkan isteri semasa di dalam tempoh iddah talak raj'i masih dianggap sebagai isteri yang layak menerima nafaqah dan apabila meninggal dunia salah seorang daripada mereka, mereka masih mewarisi antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, untuk mendapat penjelasan serta pengesahan lanjut berkaitan perkara tersebut sila rujuk ke Mahkamah Syariah terdekat sebagai pihak yang berautoriti memutuskan sebarang permasalahan hukum berkaitan nikah, talak dan rujuk umat Islam.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 53

message user image