BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum  w.b.t
saya tinggalkan puasa dri tahun 2007 sehingga 2018 
sepanjang tahun tersebut saya x pernah qhada mahupun bayar fidyah 
Berapa kadar pengiraan fidyah puasa yang perlu saya bayar ?
terima kasih 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan, puasa yang ditinggalkan dengan sengaja tanpa keuzuran syar’i adalah wajib diqada’ mengikut bilangan hari yang ditinggalkan serta wajib membayar fidyah. Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor Bil.1/2001 pada 16 Januari 2001 telah sebulat suara membuat keputusan bahawa harus menggunakan 2 kaedah sama ada:

i. Gandakan fidyah dan kifarah mengikut tahun atau,

ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kafarah.

Ini bermakna umat Islam boleh memilih cara yang bersesuaian mengikut keupayaan masing-masing, berganda atau tidak berganda.

Manakala bagi nilai fidyah yang perlu dibayar, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk membayar fidyah berdasarkan kepada kemampuan mereka mengikut jenis beras yang biasa dimakan iaitu RM2.00 bagi mereka yang memakan beras Super Tempatan Gred A, RM4.00 bagi mereka yang memakan beras putih import/ beras perang/ beras pulut/ herba ponni/ beras wangi atau RM6.00 bagi mereka yang memakan beras basmathi/ beras Jepun/ beras merah. Kiraan dan kaedah bayaran boleh merujuk hitungan kalkulator fidyah Majlis Agama Islam Selangor di pautan berikut, dan boleh terus membuat pembayaran secara atas talian:

https://mais.gov.my/kalkulator-fidyah-puasa/pengiraan-bagi-orang-hidup-dari-mula-tinggal-puasa/

Boleh juga merujuk terus secara langsung dengan hadir atau berhubung terus dengan kaunter Lembaga Zakat Selangor yang berhampiran bagi mendapatkan penerangan lebih lanjut.

Sebagai ilustrasi jumlah bayaran, meninggalkan puasa sejak 2007 hingga 2018 (12 tahun):

1. Tidak berganda: 12 tahun x 30 hari x RM2.00 = RM720.00.

2. Berganda: RM8,280.00 (berdasarkan jawapan kalkulator MAIS)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 48

message user image