BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya dah berkahwin 5 tahun dan dikurniakan  3 orang anak. Yg sulung 4 tahun yg kedua 3 tahun yang ketiga 9 bulan. Isteri saya seorang suri rumah dan Bulan 4 baru ni isteri saya mengandung. Boleh ke kami nak gugurkan anak dalam kandungan atas alasan merancang keluarga dan isteri saya penat hendak menguruskan 3 orang anak semasa dalam keadaan mengandung.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa hukum merancang keluarga menggunakan kaedah tanzim al-nasal misalnya menggunakan kaedah seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur dan lain-lain bagi tujuan pengurusan ekonomi, emosi dan sebagainya adalah diharuskan.

Walau bagaimanapun, sekiranya telah berusaha merancang keluarga namun isteri tetap disahkan hamil, maka hukum menggugurkan kandungan tersebut tanpa alasan yang menepati hukum syarak adalah dikira berdosa besar. Berdasarkan  keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-26 yang bersidang pada 7 – 8 Mac 1990 memutuskan bahawa, haram menggugurkan janin di dalam kandungan, kecuali atas sebab-sebab kecacatan teruk yang membahayakan nyawa ibu. Manakala, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 telah memutuskan bahawa:

1. Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana ia dianggap sebagai satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.

2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Oleh yang demikian, menggugurkan kandungan tanpa alasan yang kukuh menurut syarak adalah diharamkan. Dalam merancang keluarga, pasangan suami isteri perlulah beriktikad bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajib pasangan memelihara kandungan tersebut sebaiknya selagimana ia tidak mendatangkan mudarat kepada ibu yang sedang hamil itu. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 42

message user image