BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz,

1.Saya apabila memuang air besar dan ketika saya teran untuk mengeluarkan najis, keluar cairan daripada kemaluan saya.Saya keliru apakah cairan itu.Ia tidak berbau tapi ia berwarna keruh dan melekit.Saya was-was dan untuk selamat, saya mandi wajib.Perkara ini tidaklah berlaku setiap kali saya membuang air besar.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Ingin dijelaskan terlebih dahulu, perkara yang menyebabkan seseorang itu wajib mandi adalah apabila keluar air mani, haid, nifas dan wiladah. Selain itu, terdapat 3 jenis cecair bagi seseorang iaitu air mani, mazi dan wadi. Air mazi dan wadi tidak memerlukan seseorang itu mandi wajib melainkan sekiranya keluar air mani. Oleh itu, perbezaan di antara ketiga jenis cecair ini perlu dikenal pasti terlebih dahulu baik dari sudut maksud dan sifatnya seperti berikut:

1. Air mani. Dinamakan air mani kerana keadaannya yang keluar dengan cara dan rasa lazat, serta diiringi lembiknya zakar dan merasai kepuasan syahwat selepasnya. Sekalipun ia tidak memancut kerana kuantitinya yang sedikit walaupun sekadar satu titis sahaja, atau keluar seperti warna darah kerana terlalu kerap melakukan jimak. Cecair ini mempunyai bau seperti tepung yang diuli apabila ia basah, atau berbau hanyir seperti bau telur putih jika ia kering. Wajib mandi wajib meskipun tidak merasa lazat ketika keluarnya ataupun jika keluarnya tanpa memancut (bagi lelaki) seperti keluar selepas mandi, sama ada bagi lelaki atau wanita. Tidak disyaratkan wujud kesemua sifat tersebut tetapi memadai dengan satu sifat sahaja. Jika kesemua sifat yang tersebut tidak ada, tidak wajib mandi kerana ia bukan mani.

2. Air mazi. Iaitu air yang berwarna putih, halus dan melekit. Keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bermesra bersama isteri. Ia keluar tanpa memancut dan tidak diiringi dengan lembiknya zakar, kadang-kadang ia keluar tanpa disedari. Tidak wajib mandi dengan sebab keluarnya air mazi.

3. Air wadi. Iaitu air yang keruh dan pekat yang hampir menyerupai mani dari sudut kepekatannya dan tidak sama seperti mani dari sudut kekeruhan warnanya, tidak mempunyai warna dan keluar selepas kencing dan ketika mengangkat sesuatu yang berat. Wadi keluar sebanyak satu atau dua titisan, tidak wajib mandi dengan sebab keluarnya air wadi.

Merujuk kepada situasi yang dinyatakan, didapati bahawa cairan tersebut adalah air wadi dan tidak wajib mandi kerananya. Namun, seperti air mazi, air wadi adalah najis yag wajib dibasuh atau disucikan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 44

message user image