Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam ustaz. Saya nak tanya apakah hukum minta cerai masa mengandung sebab si suami tidak bekerja hampir 8 bulan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, seorang isteri yang meminta cerai dari suaminya tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak adalah haram, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Sauban, bahawa Rasulullah SAW bersabda: أيما امرأة سألت زوجها طلاقاً من غير بأس فحرام عليها رائحة الجنة Maksudnya : “Mana-mana wanita yang menuntut cerai kepada suaminya tanpa alasan yang dibenarkan, maka diharamkan ke atasnya bau syurga” (Riwayat al-Tirmizi) Namun, jika ianya disebabkan oleh suami yang tidak melakukan tanggungjawabnya memberi nafkah zahir dan batin kepada puan, maka ia diharuskan. Walaubagaimanapun, Islam melarang para suami untuk menceraikan isterinya sedang dia mengetahui bahawa isterinya sedang mengandung. Sebaiknya, berbincanglah bersama-sama secara hikmah, sokong suami, berilah peluang suami mencari pekerjaan. Disamping berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar dipermudahkan urusan kehidupan dan ujian berumahtangga. Semoga puan diberi kesihatan yang baik, begitu juga bayi dalam kandungan, dan semoga dimurahkan rezkinya mudah-mudahan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.