Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum ustaz,
Saya ingin bertanya Ibu mertua saya telah kematian suami dan perlu menjalani temph iddah selama 4 bulan.
Saya ingin mengetahui adakah tidak dibenarkan untuk melawat adiknya yang sedang sakit di hospital selama tempoh iddah ini?
Adakah tidak diberi kelonggaran untuk menziarahi untuk sekali sahaja. Yang mana hajatnya Cuma untuk melihat adiknya yang terlantar dihospital dan tidak akan pergi ke tempat lain setelah selesai, akan segara pulang ke rumah. Diharapkan kehadiran ibu mertua saya dapat memberikan semangat kepada adiknya untuk segera pulih. Terima kasih atas penjelasan.
Jawapan
Bermaksud: Janganlah seorang wanita itu berihdad (berkabung) ke atas si mati melebihi tiga hari melainkan ke atas suami iaitu selama empat bulan sepuluh hari. Dan janganlah dia memakai pakaian bercorak dan berwarna-warni melainkan pakaian yang berwarna putih dan dia juga tidak boleh bercelak serta memakai wangian. Adapun ketika haid maka diperbolehkan baginya untuk mengenakan sedikit wangian dengan cebisan kapas/kain untuk menghilangkan bau tidak enak. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Di samping berkabung iaitu menahan diri daripada berhias-hias dan memakai wangi-wangian, isteri yang kematian suami juga hendaklah menetap di rumah perkahwinan mereka melainkan terdapat hajat atau keperluan. Keperluan yang dimaksudkan adalah perkara yang bersifat keperluan asasi seperti bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi dan seumpamanya. Menziarahi orang sakit tidak termasuk dalam keperluan asasi yang mengharuskan wanita beriddah untuk keluar daripada rumahnya. Hal ini kerana ziarah itu tidak melibatkan keperluan asasi dirinya, dan boleh dilakukan oleh orang lain atau melalui video call dan sebagainya. Ketahuilah bahawa ketetapan ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri dan sewajarnya dipatuhi dan diyakini oleh umat Islam.
Sekian, terima kasih.