BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Bagi orang tua yang sudah lupa atau muslimah yang sudah mati yang memiliki emas perhiasan yang melebihi 85-gram selama beberapa tahun, dan tidak dapat dipastikan berapa hari dalam takwim Hijrah dia memakai emas perhiasan miliknya ini dalam tahun-tahun tersebut, apakah fatwa Mufti Selangor, sebagai penasihat pemerintah dan sekaligus amil (LZS), dalam menentukan amaun zakat tertunggak yang wajib dibayar? Contoh: Seorang muslimah memiliki 250 gram emas perhiasan. Tiada zakat dibayar dari tahun 1979 sehingga 1983 – 5 tahun, dan tidak diketahui berapa banyak dan berapa hari emas ini dipakainya setiap tahun dalam tempoh 5 tahun tersebut. Berapakah amaun zakat tertunggak yang wajib dibayar dari hartanya ke atas koleksi emas perhiasannya bagi 5 tahun ini mengikut haul takwim Hijrah?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, kadar uruf (kebiasaan) zakat emas perhiasan yang dipakai adalah 800 gram. Oleh itu, jika seorang wanita memakai emas perhiasan dengan berat keseluruhan melebihi kadar ini , maka wanita tersebut wajib membayar zakat emas perhiasan. Sila rujuk: http://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/pewartaan/2017-terkini/802-fatwa-kadar-uruf-emas-perhiasan-negeri-selangor-pindaan Jika seorang wanita memiliki 250 gram emas perhiasan yang dipakai walaupun sekali bagi tahun qamariah tersebut, maka tidak diwajibkan keatasnya membayar zakat emas perhiasan . Ini kerana beliau hanya memiliki emas perhiasan yang belum melebihi uruf emas perhiasan iaitu 800 gram. Begitu juga jika keadaan tersebut berpanjangan selama 5 tahun , wanita tersebut tidak diwajibkan membayar zakat. Namun , jika emas itu tidak dipakai dalam tahun qamariah tersebut, maka ia dikira sebagai emas bukan perhiasan. Bagi emas bukan perhiasan , kadar nisob emas adalah 85 gram. Wanita tersebut wajib membayar zakat emas bukan perhiasan kerana beliau memiliki 250 gram emas bukan perhiasan , iaitu melebihi kadar nisob yang ditetapkan syara’ iaitu 85 gram. Zakat yang dikenakan keatasnya adalah sebanyak 2.5% daripada jumlah berat emas yang dimilikinya. Contoh: Timbangan emas x harga semasa x 2.5% = Jumlah Zakat Harga semasa RM 144.38 / gram 250 gram x RM144.38 = RM36,095 RM36,095 x 2.5% = RM902.38 Jadi zakat yang wajib dibayar adalah sebanyak RM 902.38 bagi tahun qamariah tersebut. Sila rujuk kaedah pengiraan zakat di http://www.zakatselangor.com.my/jenis-jenis-zakat/zakat-harta/zakat-emas-perak/ Jika tidak pasti samaada emas perhiasan tersebut dipakai atau tidak, maka seseorang itu hendaklah berpegang kepada kaedah asal keadaan emas tersebut. Kaedah ini disebut sebagai Al Istishab الاستصحاب . Jadi asal bagi emas pehiasan adalah ianya dipakai oleh pemiliknya. Oleh itu, tidak wajib ke atasnya mengeluarkan zakat bagi setiap tahun tersebut kerana kadar emas 250 gram masih tidak melebihi uruf emas perhiasan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 79

message user image