BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustazah/ ustazah

Saya keliru mengenai solat, puasa dan hubungan suami isteri apabila haid saya berterusan..Saya memasang implanon bulan January 2024..

Period 1 - 2/4 hingga 14/4 - 13 hari ( saya Mandi wajib pd 15/4 solat, puasa ganti, baca quran, bersetubuh pada waktu ini)

Period 2 - 19/4 hingga 27/4- 9 hari ( saya Mandi wajib pada 28/4 dan melakukan hal diatas sepanjang tempoh tak period)

Period 3 - 2/5 hingga sekarang (pada 17/5 saya Mandi wajib kerana sudah melebihi 15 hari 15 malam dan melakukan hal diatas kecuali puasa)

Darah adalah berlainan warna setiap hari kadang ada ketulan kekadang darah biasa...tidak menentu

Saya mengalami period yang tidak teratur sejak pertama kali datang period jadi tak dapat nak tentu kebiasaan saya period berapa hari

1)Bagaimana nak menentukan darah haid atau  istihadah

2) saya ada dengar ada ceramah mengatakan setiap kali solat saya kena Mandi wajib Dan tidak boleh bersetubuh

3) sekiranya haid berterusan berapa lama darah istihadah dikira

4) Bagaimana dengan solat sunat dan puasa sunat

 

Terima kasih 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Menjawab soalan yang diajukan:

1) Bagaimana nak menentukan darah haid atau istihadah:

Darah haid ialah darah yang keluar sekurang-kurangnya mencukupi 24 jam dan paling lama ialah 15 hari 15 malam. Untuk mengetahui darah yang datang itu ialah haid, maka wanita itu perlu melihat sebelum darah itu datang adakah dia telah melalui tempoh suci sekurang-kurangnya 15 hari. Jika ya, maka darah yang baru datang itu bolehlah dikira haid jika ternyata cukup 24 jam. Maksud 24 jam itu ialah sama ada datang berterusan selama 24 jam atau terputus-putus tetapi apabila dicampurkan himpunan masanya maka ia cukup 24 jam asalkan tidak melepasi 15 hari. 

Contoh mengira darah yang terputus-putus sebagai haid ialah seperti berikut: Katakanlah hari pertama darah datang selama lima jam kemudian berhenti. Maka ia tidak boleh dikira haid lagi kerana belum cukup 24 jam. Tetapi dia hendaklah mencatit bahawa darah telah datang selama lima jam. Pada waktu malamnya atau mana-mana waktu selagi belum melepasi 15 hari datang pula darah selama 10 jam kemudian berhenti, maka dia hendaklah mencatitkannya. Bererti jumlah masa darahnya setakat ini ialah 15 jam. Belum lagi cukup untuk haid. Esoknya darah datang lagi selama 10 jam kemudian berhenti. Maka ini bererti jumlah masa darahnya telah mencapai 25 jam. Maka telah mencukupi syarat haid iaitu sekurang-kurangnya 24 jam. Apabila telah diketahui cukup 24 jam maka semua masa sejak dari hari pertama darah itu datang hendaklah dianggap masa haid termasuklah masa-masa yang darah itu tidak ada. Masa yang kosong dari darah itu juga dianggap masa haid kerana ia dikepung (berada di celah-celah) antara darah-darah haid.

Bagaimana dengan solatnya semasa tempoh darah itu terputus-putus?
Semasa darah itu ada, anggaplah ia sebagai haid walaupun belum cukup 24 jam, oleh itu jangan solat semasa darah itu ada. Bila darah berhenti dan belum cukup 24 jam, anggaplah haid tidak jadi oleh itu hendaklah solat. Bila darah telah cukup 24 jam maka solat yang telah dilakukan semasa darah berhenti sebelum itu anggaplah batal kerana ia dilakukan semasa tempoh haid, tetapi tidak berdosa solat semasa tempoh itu kerana belum tahu ia adalah masa haid. Bila telah cukup 24 jam, kemudian darah itu berhenti pula tetapi belum melepasi tempoh 15 hari dari hari pertama maka anggaplah haid telah berhenti, maka bolehlah mandi dan solat. Kemudian selepas itu datang pula darah dalam lingkungan 15 hari ke bawah anggaplah haid masih ada dan mandi serta solatnya sebelum itu adalah tidak sah. (Tetapi tetap mendapat pahala kerana menjunjung perintah, bukannya pahala solat dan mandi). Begitulah seterusnya yang dilakukan semasa ada darah dan semasa darah berhenti selagi belum melepasi 15 hari.

Bagaimana untuk menentukan darah istihadah pula?

Ada beberapa keadaan yang dikira darah itu istihadah:

1. Darah itu tidak cukup 24 jam. Yakni apabila darah yang datang itu setelah melepasi lima belas hari dari hari pertama dan setelah dicatit lama masanya maka ia tidak cukup 24 jam, maka ia adalah darah istihadah.
2. Darah yang keluar melebihi tempoh masa 15 hari iaitu sebanyak-banyak haid. Apabila darah masih ada pada hari ke 16 maka haid telah bercampur dengan istihadah. Pada hari ke 16 hendaklah mandi dan solat. Kemudian untuk menentukan berapa harikah sebenarnya darah haidnya dan yang mana pula darah istihadahnya ada dua cara.

     a. Cara pertama ini perlu dipilih dahulu jika mampu. Iaitu perlulah dilihat kepada perbezaan bentuk-bentuk darah. Jika darah-darah itu ada yang kuat dan ada yang lemah (contohnya seperti lima hari pertama darahnya adalah berwarna hitam manakala baki hari-hari seterusnya berwarna merah) maka darah hitam dikira lebih kuat dari darah merah. Oleh itu darah hitam sahaja dikira sebagai haid. Manakala darah merah itu dikira sebagai istihadah dan sekiranya darah merah itu berterusan beberapa bulan sekalipun selepas itu maka ia masih dikira istihadah sehinggalah datang darah hitam semula barulah dikira haid baru. Ini kerana pengecaman darahnya berdasarkan kepada bentuk darah yang kuat. Jika tidak jelas perbezaan bentuk darah maka hendaklah beralih cara yang kedua iaitu:

     b. Pandukan kepada adat haidnya yang terakhir. Sebagai contoh sebelum terjadinya gejala istihadah ini haid normalnya sebelum ini ialah 7 hari manakala suci selepasnya ialah 20 hari, maka untuk kali ini jadikan 7 hari yang  pertama sahaja sebagai haid, manakala 20 hari selepasnya adalah suci (walaupun masih ada darah, dan inilah yang dikira darah istihadah). Selepas 20 hari itu jika masih ada darah maka ia dikira sebagai period haid yang baru pula.

3. Darah yang keluar sebelum seorang wanita mencapai usia haid itu sebelum dia beurmur sembilan tahun hijrah.
4. Darah yang keluar melebihi tempoh maksima bagi nifas.


2) Saya ada dengar ada ceramah mengatakan setiap kali solat saya kena mandi wajib dan tidak boleh bersetubuh:

Wanita yang wajib mandi setiap kali hendak solat dan tidak boleh bersetubuh adalah wanita yang kedatangan istihadah kemudian dia tidak ingat atau tidak tahu membezakan bentuk darah sama ada kuat atau lemah dan dia juga tidak ingat adat haidnya sebelum itu serta bilakah mula datang darahnya. Wanita ini dikenali sebagai wanita mutahayyirah (yang kebingungan) kerana dia tidak tahu mula masa dan lama masa haidnya untuk dibuat panduan. Maknanya dia tidak ingat bilakah hari pertama darah itu datang dan dia juga tidak ingat sebelum ini berapa lamakah kebiasaan hari haidnya. Jadi, apabila berlaku kedatangan darah yang telah melepasi 15 hari dan masih berterusan, tetapi dia tetap tidak dapat ingat bila darah itu mula datang dan berapa harikah haid sebelumnya maka dalam keadaan ini setiap hari yang dilaluinya dalam keadaan darah masih ada itu ada kemungkinan ia adalah hari sucinya dan ada kemungkinan ia adalah hari haidnya. Untuk membezakan hari suci dan hari haidnya tidak dapat dilakukan kerana dia tidak tahu bilakah darah itu bermula. Kita juga tidak boleh putuskan dia sentiasa berada dalam suci kerana darah itu masih berterusan keluar. Kita juga tidak boleh memutuskan dia sentiasa dalam haid kerana haid tidak lebih 15 hari dan seorang wanita mesti ada tempoh sucinya. Maka dalam keadaan yang sebeginilah wanita itu wajib mandi setiap kali hendak solat kerana ada kemungkinan setiap waktu solat itu telah tiba penamat haidnya. Dan dia tidak boleh bersetubuh dengan suaminya kerana ada kemungkinan waktu persetubuhan itu dia masih haid. Kebiasaannya kes ini terjadi kepada wanita yang pernah hilang ingatan disebabkan gila dan sebagainya atau dia memang tidak pernah ambil hirau tentang darah-darah yang datang sebelum ini, dan tiba masanya dia ingin kembali mengamalkan agama tiba-tiba darah masih berterusan padanya dan dia langsung tidak ingat rekod darahnya.    

 

3) Sekiranya haid berterusan berapa lama darah istihadah dikira:

Tidak boleh meletakkan had maksimum atau had tertentu bagi darah istihadah. Ini adalah kerana ia bergantung kepada keadaan-keadaan darah yang keluar. Sebagaimana contoh yang diberikan di atas (lihat jawapan 1) 2. a. bold), ia boleh memakan masa berbulan-bulan, bahkan mungkin bertahun.

 

4) Bagaimana dengan solat sunat dan puasa sunat:

Apabila dapat dikenalpasti yang manakah darah istihadah dan yang manakah darah haid, maka sepanjang tempoh darah istihadah itu wanita itu boleh solat dan berpuasa. Untuk puasa sunat berpuasalah seperti biasa. Cuma untuk solat lihat kepada tujuan dia berwuduk. Jika tujuan dia berwuduk untuk solat fardu, maka dia hanya boleh berwuduk setelah masuk waktu solat. Apabila telah masuk waktu solat dia hendaklah membasuh kemaluannya, kemudian memakai pad. Setelah itu dia terus berwuduk dengan niat berwuduk bagi membolehkan solat fardu (bukan niat mengangkat hadas, kerana hadasnya tidak terangkat kerana darahnya sentiasa keluar). Setelah itu dia tidak boleh berlengah lagi dan hendaklah terus mengerjakan solat fardu itu. Dengan wuduk tadi dia hanya boleh melakukan satu solat fardu sahaja. Manakala untuk solat sunat dia boleh lakukan dengan wuduk tadi sebanyak mana solat sunat yang dia mahu. Begitulah jika dia berwuduk kerana hendak melakukan solat sunat sahaja maka dia hendaklah melakukan langkah-langkah seperti wuduk untuk solat fardu iaitu membasuh kemaluan, memakai pad dan berwuduk. Cuma untuk solat sunat dia boleh lakukan sebanyak mana yang dia mahu dengan satu wuduk itu.

Bagi situasi yang berlaku pada diri puan, sebagaimana yang dinyatakan:

1 (APRIL)

Darah haid

2

Darah haid

3

Darah haid

4

Darah haid

5

Darah haid

6

Darah haid

7

Darah haid

8

Darah haid

9

Darah haid

10

Darah haid

11

Darah haid

12

Darah haid

13

Darah haid

14

Darah haid

15

suci

16

suci

17

suci

18

suci

19

Darah baki suci

20

Darah baki suci

21

Darah baki suci

22

Darah baki suci

23

Darah baki suci

24

Darah baki suci

25

Darah baki suci

26

Darah baki suci

27

Darah baki suci

28

suci

29

suci

30

suci

1 (MEI)

suci

2

Darah haid

3

Darah haid

4

Darah haid

5

Darah haid

6

Darah haid

7

Darah haid

8

Darah haid

9

Darah haid

10

Darah haid

11

Darah haid

12

Darah haid

13

Darah haid

14

Darah haid

15

Darah haid

16

Darah haid

17

Darah haid bercampur istihadah

18

19

20

 

21

22

23

24

25

26

27

 

28

29

30

31

1 (JUN)

2

1 April -14 April, adalah haid.

15 April – 1 Mei, adalah suci. Darah baki suci adalah darah istihadhah.

2 Mei – 16 Mei, asalnya dikira haid jadi kena ikut hukum haid dulu.

Apabila 17 Mei masih ada darah, maka ternyata haid telah bercampur dengan istihadhah. Oleh itu, kena semak balik warna dan bentuk darah dari 2 Mei hingga 17 Mei dan selepasnya. Kalau ada darah yang kuat dan lemah dan tahu beza maka ambil darah kuat sahaja dijadikan haid.

Kalau tak tahu beza atau tak faham maka pakai adat terakhir. Adat terakhir haidnya ialah 14 hari iaitu dari 1 April hingga 14 April. Sucinya ialah 17 hari iaitu dari 15 April hingga 1 Mei. Oleh itu, kitaran adat terakhirnya ialah 14 hari haid + 17 hari suci = 31 hari.

Oleh itu, jika mengikut adat terakhir, maka haidnya dikira 14 hari iaitu dari 2 Mei hingga 15 Mei.

16 Mei hingga 1 Jun dikira sebagai suci kerana berpandukan adat suci terakhirnya ialah 17 hari.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 42

message user image