BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Apa hukum buat affiliate jual produk melalui kongsi link untuk pelanggan tekan link untuk membeli dan apakah boleh terima sale wallet dan profit wallet bagi apps Products 2u.

Apps ini juga menawarkan untuk bayar bill,beli produk dan topup telco dengan syarat perlu topup duit ke dalam e wallet paling minima RM10 dengan caj servis Rm1 bagi jumlah topup kurang dari RM150.Adakah ini riba?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

berdasarkan pertanyaan puan, affiliate marketing merupakan satu sistem pemasaran menggunakan komisen. Sebagai contoh, seorang affiliate marketer akan mendapat komisen daripada setiap jualannya. Sistem ini tidak hanya terletak pada jualan produk kerana affiliate marketing mempunyai banyak jenis dan konsepnya. Dalam bahasa mudahnya, seseorang yang menyertai program affiliate marketing hanya perlu mempromosikan produk ataupun laman web menerusi pautan alamat url affiliate ID tersendiri yang diberikan oleh pemilik produk.

Jika terdapat pembeli yang klik alamat url tersebut dan kemudian membuat pembelian di laman web itu, pemiliknya akan memberi komisen kepada peserta tersebut. Ada komisen diberikan atas sebab mempromosikan laman web tersebut dan ada juga komisen diberikan disebabkan oleh pembelian yang dilakukan oleh pembeli melalui alamat url affiliate peserta tersebut. Jika  berdasarkan kepada bentuk di atas, pada asasnya ia adalah halal kerana menggunakan kontrak ju‘alah.

Sekalipun begitu, keharusan program affiliate ini juga terikat atau bergantung kepada kandungan dan produk laman web yang disertai sama ada halal atau haram. Dalam erti kata lain, hukum program affiliate ini boleh berubah menjadi haram sekiranya ia mengandungi perkara yang diharamkan oleh syarak seperti mengandungi kandungan lucah atau pornografi, ada unsur perjudian, adanya penipuan, dan lain-lain, atau produk yang dipromosikan adalah produk yang diharamkan oleh syarak seperti penjualan babi, arak dan seumpamanya.

Hal ini kerana ia boleh dianggap tolong-menolong dalam perkara kemungkaran sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Berkaitan dengan caj RM1 daripada sistem e-wallet ia adalah bukan riba kerana ia adalah bagi menampung kos operasi sebagaimana yang terkandung dalam terma dan syarat.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 98

message user image