Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
as'salamualaikum.. saya nak tanya beberapa tahun lepas saya dan suami ada bergaduh atas beberapa sebab . lepastu suami ada lafazkan taklik 'kalau ada orang boleh jaga kau lebih baik dari aku jatuh talak' .. macam mana status sekarang ya sebab tak pernah pn ada lelaki lain ke apa cuma 'orang' yg dimaksudkan suami tu tak pasti macam mana . dan baru2 ni kami ada bergaduh lagi dan saya cabar suami talakkan saya kerana saya tuduh dia ada skandal dengan perempuan lain lalu dia talakkan saya 'kalau aku skandal dengan dia jatuh talak 1' . suami kata dia berani sebab dia memang tak ada apa2 dgn perempuan tu cuma kawan sahaja.. tapi skandal ni dalam kategori apa ? bercinta ? pernah berhubungan badan atau teman tapi mesra ? atau kawan perempuan pn dikira skandal ?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Secara umum cerai atau talak taklik bermaksud mengaitkan jatuh talak dengan berlakunya sesuatu perkara. Apabila perkara tersebut berlaku, maka jatuhlah talak.
Menjawab pertanyaan puan:
1) Lafaz yang suami puan ungkapkan iaitu "kalau ada orang boleh jaga kau lebih baik dari aku jatuh talak" tidak membawa kepada talak secara taklik kerana ungkapan tersebut berbentuk perkhabaran, sekiranya ada orang lain yang boleh menjada isteri, suami akan jatuhkan talak.
2) Manakala lafaz "kalau aku skandal dengan dia jatuh talak 1" boleh membawa kepada berlakunya talak secara taklik. Ini bermakna sekiranya suami ada melakukan skandal dengan orang yang dia maksudkan, maka jatuhlah talak satu. Skandal menurut Kamus Dewan dan Pustaka bermaksud perkara atau perbuatan keji (malu, aib, hina dan sebagainya). Oleh yang demikian, sekiranya suami hanya berkawan sahaja dan tidak sampai melakukan perbuatan keji dan hina atau perbuatan maksiat bersama perempuan itu atau perbuatan yang boleh menyebabkan terjalinnya hubungan suka sama suka, rasa cinta atau sayang yang mungkin menjurus kepada maksud skandal, maka perlanggaran taklak taklik mungkin tidak berlaku.
Walau bagaimanapun, seandainya terdapat pertikaian sama ada taklak talik itu sah atau tidak, sama ada perlanggaran terhadap talak taklik tersebut telah berlaku atau tidak, disyorkan agar isu ini dirujuk kepada Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran dengan kadar segera supaya mendapat pengesahan yang lebih jelas daripada pihak yang berautoriti kerana pengesahan status talak adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 81