BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum ustaz. Maaf ganggu, saya nak tumpang tanya Jika kita berbekam. Darah disedut keluar dari badan kita. Darah yang keluar tu adakah dikira najis? Selepas siap berbekam ada kesan darah melekat2 dibadan kita. Perlukah kita basuh dgn air mengalir sehingga hilang rupa bau & rasa? Atau cukup sekadar lap dengan tisu atau kain saja? Jika kita nak solat/sembahyang, perlukah kita mandi terlebih dahulu untuk membersihkan kesan kesan darah itu atau cukup sekadar kita lap dengan tisu saja?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, darah yang keluar ketika proses berbekam adalah najis mutawassitah. Perlu dibersihkan sebagaimana menyucikan najis mutawassitah. Jika hendak solat, walaupun telah dilap dengan tisu atau kain, ia masih tidak menyucikan. Syarat lain yang mesti dipenuhi untuk menyucikan sesuatu najis mutawassitah adalah air itu mestilah bersifat mengalir sepertimana disebut di dalam kitab ‘al-Yaqut al-Nafis: بجري الماء على ما تنجس بها Maksudnya: “Dengan mengalirnya air ke atas sesuatu yang ternajis dengannya (najasah)”. Satu lagi syarat yang wajib dipenuhi menurut mazhab Syafi’ie adalah membersihkan sesuatu dari najis dengan air mutlak (air paip dan seumpamanya). Tidak boleh menggunakan air yang bercampur dengan bahan lain seperti sabun, clorox dan seumpamanya. Perkara ini disebut di dalam kitab “Matan Abi Syuja'”: وطاهر غير مطهر وهو الماء المستعمل والمتغير بما خالطه من الطاهرات Maksudnya: “Jenis air yang suci tetapi tidak menyucikan iaitu air mustakmal dan air yang berubah sifatnya dengan bercampur dengan bahan-bahan yang suci”. Maksudnya, darah yang dilap menggunakan tisu basah atau kain yang dibasahkan tidak menepati syarat menyucikan darah (najis mutawassitah). Perlu dicuci menggunakan air mutlak. Jika berbekam itu bukan pada anggota wuduk, perlulah mandi atau alirkan air di kawasan bekam. Jika berbekam pada anggota wuduk, mestilah dicuci terlebih dahulu sebelum berwuduk dan solat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 137

message user image