Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
apakah hukum suami ditengking isteri bilamana emosi isteri tidak stabil selepas bersalin?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.
Dalam Islam, hubungan antara suami dan isteri harus didasarkan dengan prinsip kasih sayang, hormat-menghormati serta bekerjasama. Perbuatan menengking suami atau berbicara dengan nada keras dan kasar adalah tindakan yang tidak sesuai dengan adab dan akhlak yang diajarkan oleh Islam bagi seorang isteri. Namun begitu, Islam juga mengakui keadaan seseorang yang mungkin dipengaruhi dengan emosi yang tidak stabil selepas bersalin. Oleh yang demikian, Islam mengajarkan pentingnya berbicara dengan lemah lembut dan sopan terutamanya dalam hubungan kekeluargaan antara suami dan isteri. Hal ini sebagaiman firman Allah SWT di dalam Surah al-Isra' ayat ke 53:
وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنسَانِ عَدُوًّا مُّبِينًا
Maksudnya: Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.
Justeru, dalam menghadapi situasi di mana emosi isteri tidak stabil selepas bersalin, hukum Islam menekankan kepentingan supaya seorang suami sentiasa bersabar, memahami, dan berkelakuan baik terhadap isteri. Suami harus memahami kondisi ini dan berusaha untuk memberikan dukungan kepada isteri serta menghindari respon negatif yang dapat memperburuk keadaan. Hal ini bertepatan dengan sabdaan Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah RA:
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي، وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ
Maksudnya: Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya). (Riwayat al-Tirmidhi)
والله أعلم بالصواب
Sekian, Terima Kasih.
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 75