BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Saya bukan pelajar dari bidang agama. Oleh itu, mohon pencerahan berkaitan al masih dajjal serta kaum yakjut dan makjuj, secara lebih mendalam (selain apa yang diceritakan oleh para Ustaz dan Ustazah di dalam TV radio dan media masa, jika ada). Soalan saya:

1. Apakah kuasa atau kekuatan yang dimiliki oleh dajjal dan kaum yakjut dan makjuj? Jika boleh disenaraikan, amat dialu-alukan.

2. Apakah yang akan berlaku kepada umat Islam dan seluruh manusia keseluruhannya, semasa kemunculan mereka di dunia ini, mengikut hadith sahih Rasulullah s.a.w?

3. Adakah golongan yakjuj dan makjuj akan lenyap di bumi ini seperti mana terbunuhnya dajjal ditangan Nabi Isa?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Sebelum menjawab soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa perbincangan berkaitan hari kiamat dan perkara ghaib tersangatlah panjang dan banyak. Di samping itu, berlaku pula khilaf dalam kalangan ilmuwan terhadap perincian perkara ini. Oleh itu, jika puan ingin penerangan lebih mendalam, disyorkan untuk memperlajarinya secara terperinci dengan guru yang dipercayai bukan sekadar mendengar potongan-potongan video ceramah sama ada di television atau di media sosial. Secara ringkas bagi menjawab soalan yang diajukan:

1. Kekuasaan Dajjal seperti yang diterangkan dalam sebuah hadis yang panjang, diriwayatkan oleh al-Nawas bin Sam'an:

  • Merampas harta-harta manusia sehingga manusia tidak mempunyai apa-apa lagi.

  • Menurunkan hujan daripada langit.

  • Mengeluarkan tumbuh-tumbuhan daripada bumi.

  • Mengurniakan binatang ternakan yang sihat dan berisi serta dipenuhi dengan susu.

  • Boleh membelah badan manusia lalu mencamtumkannya semula dalam keadaan manusia itu hidup.

(Riwayat al-Tirmizi)

Begitulah kehebatan dan kekuasaan yang Allah SWT berikan sementara kepada Dajjal pada ketika itu. Yang beriman akan bertahan dengan ujian tersebut. Yang tidak beriman akan menjadi beriman dengan Dajjal.

Yakjuj dan Makjuj juga adalah manusia yang berketurunan daripada Nabi Adam AS. Ini adalah pendapat yang disahihkan oleh al-Qustollani. Ada juga berpendapat Yakjuj dan Makjuj adalah 2 kabilah daripada Yafith bin Nuh. Kekuasaan mereka tidak dapat dipastikan secara jelas. Walau bagaimanapun kemunculan Yakjuj dan Makjuj tersangatlah bahaya dan akan membawa kerosakan yang sangat dahsyat. Ini seperti dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zainab binti Jahsy, ketika beliau tanya keadaan ketika Yakjuj dan Makjuj keluar kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, apakah kami akan binasa walaupun dalam kalangan kami ada orang-orang soleh? Sabda Rasulullah SAW:

نَعَمْ، إِذَا كثر الخبث

Maksudnya: Ya, jika banyak berlaku keburukan iaitu fitnah dan zina. (Riwayat al-Bukhari)

2. Suasana atau keadaan ketika Dajjal serta Yakjuj dan Makjuj muncul adalah sangat huru hara dan kacau bilau. Berdasarkan hadis riwayat al-Tirmizi di atas turut ada menceritakan keadaan orang yang lemah imannya akan mengikuti dan membenarkan segala apa yang dilakukan oleh Dajjal. Dan Dajjal akan berterusan memperdaya manusia sehingga datangnya Nabi Isa AS lalu membunuhnya di pintu Ludd. Kemudian muncul Yakjuj dan Makjuj membunuh orang-orang yang berada di bumi. Pada ketika itu Nabi Isa AS dan pengikutnya terkepung. Kemudian Nabi Isa AS berdoa meminta bantuan kepada Allah SWT. Lalu Allah SWT menghantar sejenis cacing di leher-leher meraka (Yakjuj dan Makjuj) lalu mereka mati disebabkan cacing tadi.

3. Ya, Yakjuj dan Makjuj, Dajjal dan semua makhluk akan lenyap. Semua makhluk dan dunia ini akan terhapus sebelum hari kebangkitan semula.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 82

message user image