BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Ada yang mengatakan bahawa puasa 8-9 zulhijjah itu bidah. Bagaimana yang sebenarnya?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, memperbanyakkan amalan-amalan soleh ketika berada di awal bulan zulhijjah merupakan suatu perkara yang amat digalakkan oleh Rasulullah SAW. Antaranya, seperti yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, Nabi SAW bersabda: ‏”‏ مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامِ الْعَشْرِ أَفْضَلَ مِنَ الْعَمَلِ فِي هَذِهِ “‏‏.‏ قَالُوا وَلاَ الْجِهَادُ قَالَ ‏”‏ وَلاَ الْجِهَادُ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَىْءٍ ‏“‏‏.‏ Maksudnya : “Tiada amalan yang dilakukan pada hari lain yang lebih afdhal daripada amalan pada 10 hari ini (awal bulan Zulhijjah)”. Para sahabat bertanya: Tidak juga jihad? Baginda menjawab: “Tidak juga jihad, kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya dan tidak kembali lagi”. [Riwayat al-Bukhari] Amalan berpuasa di awal bulan Zulhijjah ini juga menjadi amalan Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Imam An-Nasaie: عَنْ بَعْضِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ ” يَصُومُ تِسْعًا مِنْ ذِي الْحِجَّةِ ، وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ ، وَثَلاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ أَوَّلَ اثْنَيْنِ مِنَ الشَّهْرِ وَخَمِيسَيْنِ Maksudnya : “Sebahagian isteri-isteri Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa pada sembilan hari awal Zulhijjah, hari Asyura, dan tiga hari setiap bulan iaitu pada hari Isnin pertama dan dua hari Khamis”. [Sunan An-Nasaie, Kitab as-Siyam] Oleh itu, amalan berpuasa pada 8 dan 9 Zulhijjah tidaklah bid’ah malahan amalan terbaik adalah dengan berpuasa seawal 1 Zulhijjah sehingga 9 Zulhijjah kerana terdapat fadhilat yang besar sepanjang tempoh tersebut. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk beramal dengan Sunnah Rasulullah SAW. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 84

message user image